Quantcast

BERITA

Pique Ajak TMJ Dan Wakil JDT Bermain Bola Sepak Bersama Barcelona

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) telah menerima jemputan untuk menyertai perlawanan amal bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Menurut kenyataan daripada JOHOR Southern Tiger, TMJ dan wakil daripada JDT menerima jemputan tersebut daripada pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique untuk beraksi di stadium terkemuka dunia, Nou Camp.

“Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique telah menjemput DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan wakil dari Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyertai perlawanan amal bersama pemain Barcelona dan ‘friends and family’ Barcelona di Nou Camp pada 21 Mei 2019,” kata kenyataan tersebut.

JDT baru-baru ini mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila menewaskan juara bertahan AFC Champions League, Kashima Antlers di Larkin dengan jaringan 1-0.

Jaringan daripada Syafiq Ahmad itu turut memastikan tiga mata penuh berjaya dikutip sekaligus menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat yang seterusnya.

Kemenangan itu turut melonjakkan kedudukan JDT di tangga ke-32 dalam ranking kelab AFC, dan mengatasi beberapa kelab utama Asia yang lain seperti Shanghai Shenhua (China), Pohang Steelers (Korea Selatan), dan juga Melbourne Victory (Australia).

JDT juga merupakan kelab terbaik Asia Tenggara, selepas berada di atas Ceres Negros (Filipina) yang kini berada di kedudukan ke-33. Beberapa kelab utama Asia Tenggara yang lain menyaksikan Buriram United (Thailand) berada di kedudukan ke-36; Muangthong United (Thailand) di tangga ke-46; dan Home United dari Singapura di kedudukan ke-52 Asia.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!