Kelab dari Indonesia, Mitra Kukar memilih Malaysia sebagai destinasi untuk persiapan pra musim sebelum menghadapi saingan Liga 1 Indonesia musim depan.
Menurut laman facebook rasmi Mitra Kukar, mereka dijadualkan menentang juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 7 Januari dan kemudian menentang JDT II pada 10 Januari 2018.
Mereka dijadualkan berangkat ke Malaysia pada 5 Januari dan akan berada di Johor Bahru sehingga 11 Januari setelah melakukan latihan intensif di Tenggarong sejak 20 Disember.
“Ya, kita akan mengadakan perlawanan persahabatan di Malaysia menentang JDT yang merupakan juara Liga Super Malaysia selama 4 musim berturut-turut,” Kata CEO Mitra Kukar, Endri Erawan seperti dipetik dalam laman web rasmi Mitra Kukar.
Menurut Endri, peluang menentang Juara AFC Cup 2015 itu merupakan satu penghormatan bagi kelabnya dan memberi pengalaman yang terbaik kepada pemainnya sebelum bertanding dalam saingan Piala Presiden 2018 iaitu kejohanan pra musim sebelum liga bermula.
“Kita tahu JDT merupakan pasukan yang kuat di Malaysia dengan barisan pemain yang berkualiti di setiap posisi. Mereka juga memiliki pengalaman luas dengan bertanding di peringkat asia dan pernah menjuarai AFC Cup.
“Mudah-mudahan perlawanan menentang JDT ini akan memberikan pengalaman dan pembelajaran yang berharga untuk kita di Mitra Kukar,” jelasnya.
Ini bukanlah kali pertama kelab ini mengadakan perlawanan pra musim di luar negara kerana sebelum ini mereka pernah ke Sepanyol pada penghujung tahun 2013 dengan menentang kelab La Liga ketika dibawah bimbingan Stefan Hansson.
Tahun 2014 dan 2015 mereka pernah ke Bangkok, Thailand dan dilatih oleh jurulatih berpengalaman dari England, Scott Cooper.
Musim ini, Mitra Kukar menduduki tangga 10 dalam saingan Liga 1 Indonesia dan mengumpulkan 43 mata daripada 37 perlawanan.