Pemain sayap serangan kebangsaan, Faisal Halim secara rasminya kini terus memilih untuk kekal pada musim depan bersama Selangor selepas ianya disahkan sendiri oleh laman berkenaan.
Faisal yang menyertai Selangor pada tahun lalu tidak mengambil masa yang lama untuk terus memberi impak besar buat pasukan berkenaan khususnya di posisi utama serangan The Red Giants.
Nama Faisal boleh dikatakan cukup sensasi sejak beberapa tahun ini, selepas beliau menjadi antara pemain tempatan cukup menyinar untuk saingan Liga Malaysia (Liga M).
Sepanjang bersama Selangor, pemain lincah ini telah pun meledak 13 gol serta 11 bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 28 perlawanan dilalui di pentas domestik.
Selain itu, Faisal juga menjadi watak penting khususnya buat pasukan kebangsaan bawah kendalian Kim Pan-gon serta sudah meledak banyak gol dan bantuan jaringn bersama negara.
Kekal bersama Selangor, dijangka Faisal akan terus kekal memberi sensasi tersendiri untuk pasukan berkenaan atas beberapa faktor sebagai pemain tempatan.
Faktor persefahaman
Selangor boleh dianggap telah pun mengekalkan ramai pemain utama mereka pada tahun lalu untuk terus memperkukuhkan pasukan berkenaan.
Antara yang berjaya melonjakkan nama Faisal pada musim lalu terarah kepada pemain import berpengalaman dan beraksi di posisi tengah serangan iaitu Yohandry Orozo.
Gandingan antara Orozco bersama Faisal boleh dianggap cukup menyinar pada tahun lalu, selepas masing-masing berjaya membentuk persefahaman tinggi khususnya dalam penghasilan jaringan.
Beraksi di pentas Asia
Selangor menjadi antara kelab di Malaysia yang akan beraksi di saingan Asia pada musim hadapan selepas kejayaan mereka menghuni kedudukan selaku naib juara Liga Super pada tahun lalu.
Beraksi dalam kejohanan AFC Champions League 2 (ACL 2), pastinya ia akan terus melonjakkan lagi saham Faisal di luar negara selepas beliau begitu menyerlah bersama Selangor dalam aksi domestik tahun lalu.
Malah, ini menjadi peluang buat Faisal untuk terus menarik minat pasukan-pasukan luar yang mungkin tertarik untuk cuba membawa pemain ini terus mengembangkan bakat di luar negara pada masa hadapan.
Pengaruh Tan Cheng Hoe buat Faisal
Sepanjang berada bawah kendalian Tan Cheng Hoe, kelibat Faisal boleh dianggap cukup menyerlah walaupun beraksi pada musim pertama bersama jurulatih tersebut.
Cheng Hoe jelas menggunakan Faisal sebaik mungkin di atas padang khususnya untuk menggerakan serangan serta memberi sudut kreativiti mendapatkan jaringan.
Kerjasama kedua individu ini dilihat cukup menyerlah dan Faisal sendiri begitu selesa beraksi di atas padang untuk mengumpul sejumlah jaringan besar bersama Selangor pada tahun lalu.