Kekal Atau Hijrah, Luqman Hakim Belum Buat Keputusan

Luqman Hakim B-19 Malaysia Luar Negara

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dilihat masih bermain teka-teki mengenai status masa depannya sama ada akan ke Belgium atau kekal di Malaysia.

Sebelum ini, pemain berusia 18 tahun itu seakan-akan memberi bayangan yang Selangor 2 adalah pilihan yang terbaik buat masa sekarang agar beliau memiliki tempat untuk bersama skuad B-19 yang akan bersaing di Kejohanan AFC B-19.

Impian masih sama

Dalam temubual bersama Dunia Bola baru-baru ini, Luqman Hakim menekankan yang impiannya masih sama, iaitu untuk beraksi di luar negara iaitu di Eropah pada masa hadapan walaupun pada usia mudanya dahulu, beliau mahu beraksi untuk Kelantan.

“Impian saya untuk bermain di luar negara. Walau macam mana pun dekat sana, saya kena hadap kerana inilah impian saya, inilah yang saya nak. Jadi saya kena sesuaikan dirilah di sana,” ujarnya apabila ditanyakan mengenai impian masa depannya.

Ditanyakan mengenai cabaran yang bakal dilaluinya di luar negara nanti seperti rindukan keluarga, Luqman Hakim pantas mengakui semestinya beliau akan merasainya jika berhijrah sebagaimana yang pernah dilalui pemain-pemain terdahulu.

“Sekarang memang tidak rasa. Di sana baru rasa. Bagi Luqman mestilah ada rasa rindu semua. Tetapi bagi Luqman, tujuan satu sahaja iaitu untuk tolong family. Balik Malaysia kena kecam pulak nanti [berseloroh]. Jadi Luqman akan terus kekal,” ujarnya.

Minat Man United, tapi mahu main di Real Madrid

Ketika ditanyakan pasukan yang mahu disertainya pada satu masa nanti, penyerang yang merupakan penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 2018 itu menyatakan, “Saya peminat Man United, tetapi kelab impian untuk bermain adalah Real Madrid.”

Luqman Hakim memandangnya dari sudut realistik iaitu amat sukar untuk pemain daripada Malaysia menembusi kelab-kelab di Premier League dek kerana ranking negara yang agak ke belakang menyebabkan destinasi pilihannya adalah Sepanyol.

Kenyataan ini menunjukkan yang mungkin selepas khabar angin mengenai minat daripada Newcastle terhadapnya terpadam gara-gara kesukaran buatnya untuk mendapatkan visa kerja, telah membuatkannya lebih memilih untuk ke negara lain.

Bercerita pula mengenai bagaimana untuknya menyesuaikan diri dengan pemakanan di sana, Luqman Hakim menjelaskan yang pastinya ia tidak akan menjadi masalah besar buatnya dibantu pengalaman ketika bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Skuad B-19 berbesar hati

Dalam perkembangan lain, pengurus pasukan B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dipetik berkata kepada Berita Harian yang mereka sangat berbesar hati apabila Luqman Hakim mahu bersama mereka di Uzbekistan pada Oktober nanti.

“Saya mengikuti rapat perkembangan Luqman Hakim kerana dia tonggak kekuatan skuad B-19 Malaysia dan saya menyambut baik hasrat dia untuk kekal di sini sehingga habis kejohanan AFC B-19,” ujar Kamarul Ariffin mengenai situasi Luqman Hakim.

“Dengan nama yang Luqman ada dan prestasinya pada dua kejohanan B-19 sebelum ini, dia adalah tonggak kekuatan skuad B-19,” ujarnya yang sebelum ini mengesahkan minat pemain yang beraksi di Amerika, Wan Kuzri untuk turut bersama mereka.

Pengendali pasukan, Brad Maloney pula sebelum ini ada menjelaskan yang beliau lebih gemar Luqman Hakim untuk kekal sementara di Malaysia bagi membolehkan pemantauan terhadapnya serta mudah untuk diberikan pelepasan selepas ini.

Penutup

Luqman Hakim mahu membantu skuad B-19 negara untuk layak ke Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung tahun hadapan. Jika beliau memilih untuk terbang ke kelab KV Kortrijk, beliau risaukan yang tempat buatnya akan dirampas oleh pemain lain.

Adakah ruang untuk Luqman Hakim kekal sementara di Malaysia sehingga berakhir kejohanan tersebut? Mahukah KV Kortrijk – kelab yang telah menandatanganinya untuk kontrak lima tahun itu membenarkannya untuk menangguh perjalanan?

KREDIT FEATURED IMAGE: DUNIA BOLA

Baca lagi mengenai Luqman Hakim dan Malaysia B-19:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN