Kejohanan Baharu Buat Kelab Eropah Diperkenalkan UEFA, Bakal Bermula Pada 2021

EURO

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan bahawa akan memperkenalkan kejohanan baharu buat kelab Eropah yang dinamakan ‘UEL2’.

Pemenang kejohanan tersebut akan melayakkan diri ke saingan Liga Europa pada musim berikutnya. Ini bermakna UEL2 dilihat sebagai kejohanan ‘lapisan ketiga’ buat kelab-kelab di Eropah.

Sama seperti saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa, UEL2 juga akan menampilkan 32 pasukan bertanding di peringkat kumpulan dan akan beraksi pada hari Khamis.

Lapan pasukan yang menamatkan saingan di tangga teratas akan melayakkan diri secara automatik ke peringkat 16 terbaik manakala lapan lagi kuota akan direbut dalam perlawanan ‘play-off’ yang diadakan.

Pasukan yang berada di tangga kedua UEL2 akan menentang pasukan di tangga ketiga Liga Europa bagi merebut lapan slot terakhir ke peringkat 16 terbaik kejohanan.

”Pertandingan baru buat kelab UEFA ini menjadikan pertandingan kelab UEFA lebih inklusif berbanding sebelum ini.”

”Akan terdapat lebih banyak perlawanan buat banyak pasukan, dengan lebih banyak persatuan yang akan diwakili di peringkat kumpulan,” ujar Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.

“Terdapat permintaan yang meluas oleh semua kelab untuk meningkatkan peluang mereka bagi menyertai dengan lebih kerap dalam persaingan Eropah.

“Ini telah dicapai dengan pendekatan yang strategik dan selaras dengan matlamat UEFA untuk mempunyai kedua-dua kualiti dan lebih inklusif dalam pertandingan kelab kami.”

Saingan UEL2 dilaporkan akan bermula pada tahun 2021.

Kredit foto: Denis Balibouse/Reuters

Leave a Reply