Jaringan Shival Pillay Asokan ketika menewaskan Myanmar 1-0 di Jawa Timur dalam kejohanan AFF Bawah 19 tahun (B-19) semalam memastikan skuad bawah 19 tahun negara melangkah ke peringkat separuh akhir.
Jaringan itu juga bukan sahaja membolehkan anak buah Bojan Hodak muncul juara Kumpulan B tetapi juga mengekalkan rekod tanpa kalah dengan melakar tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Mereka membuka kempen dengan menundukkan Kemboja 2-0 sebelum meraih kemenangan dengan keputusan sama ke atas Brunei pada aksi kedua.
Timor Leste nyata mendatangkan masalah kepada anak buah Hodak apabila mereka sekadar terikat 1-1 sebelum menewaskan Myanmar di Stadium Gelora Delta pada aksi terakhir kumpulan.
Menanti skuad negara di peringkat separuh akhir yang akan berlangsung Khamis ini adalah tuan rumah, Indonesia dengan satu lagi aksi kelompok empat terbaik itu menemukan juara bertahan, Thailand yang akan berdepan Myanmar.
Skuad Indonesia B-19 kendalian Indra Sjafri itu pernah tewas kepada Malaysia 1-4 ketika dalam saingan kelayakan AFC Championship U19 di Korea Selatan tahun lepas.
Edisi 2017 juga menyaksikan skuad B-19 negara tewas di tangan Thailand 2-0 pada aksi final.
Skuad negara belum pernah menjadi juara dengan pencapaian terbaik muncul naib juara dalam lima edisi iaitu 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.