Hajat skuad B-16 negara mengulangi pencapaian skuad B-19 dengan menjuarai kejohanan AFF tidak kesampaian.
Malaysia tampil dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan AFF B-16 selaku naib juara Kumpulan B. Lawan mereka, tidak lain dan tidak bukan ialah pasukan tuan rumah, Indonesia.
Beraksi di Stadium Delta Sidoarjo yang berkapasiti 35,000 penonton, skuad muda negara bukan sahaja perlu berhadapan dengan anak buah Fakhri Hussaini.
Lebih daripada itu, pasukan yang dibimbing oleh Raja Azlan Shah Raja So’ib ini turut perlu berhadapan dengan provokasi ribuan penyokong Indonesia yang hadir.
Buktinya, suara provokasi mulai kedegaran saat lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku berkumandang.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai persembahan skuad muda negara pada babak pertama perlawanan.
Lawan menguasai perlawanan dengan asakan bertali arus, tatkala pasukan negara lebih selesa untuk bertahan.
Kisah di babak kedua juga tidak jauh berbeza. Namun minit ke-72, pasukan tuan rumah diberikan sepakan penalti.
Penyerang prolifik tuan rumah, Bagus Kahfi tidak mensia-siakan peluang tersebut, untuk Indonesia mendahului 1-0.
Malaysia turut mempunyai peluang menyamakan kedudukan selepas itu, namun gagal menyempurnakan gerakan set pieces di minit akhir perlawanan.
Tamat perlawanan, Indonesia melangkah ke aksi perlawanan akhir untuk bertemu Thailand yang menewaskan Myanmar juga dengan jaringan 1-0.
Skuad muda negara akan berhadapan dengan Myanmar dalam satu lagi perlawanan untuk penentuan tempat ke-3 dan ke-4 pada 11 Ogos hadapan di stadium yang sama.