Walaupun skuad kebangsaan berjaya melangkah ke Piala Asia pada tahun hadapan secara merit dengan aksi yang dipamerkan sangat positif, masih ada beberapa perkara lagi perlu diperbaiki secara menyeluruh.
Perkara tersebut diluahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Haji Hamidin Mohd Amin apabila beliau masih belum gembira dengan pencapaian skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Tahniah Malaysia! 🇲🇾
Skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 selepas berjaya muncul naib juara Kumpulan E pusingan akhir kelayakan.
Layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun! #FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/EkLqIwjpGl
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 14, 2022
Menurut Hamidin, sehingga kini kejayaan yang dilakar Malaysia masih belum cukup untuk memuaskan hatinya apabila mahu skuad kendalian Kim Pan-gon itu melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa menerusi kejayaan demi kejayaan serta masih belum begitu gembira dengan bola sepak tempatan.
Jelas beliau, kelemahan paling ketara yang dikesan setakat ini adalah pencapaian skuad kebangsaan bawah 23 (B-23) amat mengecewakan dirinya ketika beraksi dalam kejohanan Piala Asia B-23.
Hamidin jelas mahu perubahan lebih positif dalam skuad muda kebangsaan tersebut walaupun kini pasukan senior sudah melangkah lebih jauh dari segi prestasi serta corak permainan ditampilkan.
“Kalau tanya sebagai Presiden (FAM), saya sepanjang masa memang saya tak puas hati. Saya tak puas hati dengan kakitangan saya, saya tak puas hati dengan Exco exco, dan mereka tahu KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya cukup tinggi.
“Saya selalu ‘push’ tapi mereka melakukan terbaik dan saya selalu ingatkan itu. Jadi F:30 itu kita punya satu buku untuk kita pergi sampai 2030, dan kalau kita lihat ada sebahagian kita gagal dan ada juga berjaya.
“Ada juga disebabkan Covid-19 di mana pasukan B-19 kita tak dapat bermain (Piala Asia B-19) pada 2020, dan ada juga kita gagal B-23 (Piala Asia di Uzbekistan bulan lalu), tetapi apa pun kita kena bangkit dan kita kena jadikan yang belakang itu sebagai tauladan dan kita kena kerja kuat,” katanya menerusi Arena Metro.
Dalam masa sama, Hamidin juga mengakui ada beberapa perubahan lebih positif akan dibuat oleh pihaknya dari segi perbelanjaan supaya lebih tersusun dan akan memastikan setiap agenda dibentang bakal terlaksan sebaik mungkin.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan C, Piala Asia B-23 2022 | Rabu, 8 Jun 2022
VIETNAM 🇻🇳 2-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Nham Manh Dung 28’ Bui Hoang Viet Ang 45+8 (Pen)#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/LfJLVxaZpj
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 8, 2022
“Saya tengok bola sepak ini, kita kena berani buat perubahan dengan betul dan juga kita kena belanjakan wang sikit untuk meraih kejayaan.
“Ini salah satu kejayaan (layak ke Piala Asia) semua dan sahabat-sahabat saya dalam Exco pun kerja keras, ramai tak tahu mereka kerja dengan membantu saya, selain daripada pemain dan juga pegawai pasukan, serta kerja perlu diteruskan. Kalau tanya saya, saya masih lagi belum gembira,” katanya.
Untuk rekod, skuad kebangsaan menamatkan penantian mereka selama 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia yang bakal berlangsung tahun depan.
Skuad kendalian Pan-gon juga dilihat berjaya mempamerkan corak permainan yang sangat mantap selain mengejutkan lawan lebih tinggi dalam siri perlawanan antarabangsa dilalui seperti Hong Kong dan Turkmenistan.