[VIDEO]: Kenapa Pengendali Bali United Anggap Penyokong Mampu Bagi Tekanan Kepada Kedah?

Ultras North Side Boys Bali United penyokong

Pengendali Bali United, Stefano Cugurra, lawan pertama Kedah Darul Aman FC di saingan AFC Cup 2022 pada malam ini mengharapkan lawan mereka akan diberikan tekanan kuat oleh para penyokong Serdadu Tridatu.

Sudah dua musim mereka beraksi tanpa penyokong dan untuk aksi AFC Cup 2022 kali ini, penyokong mereka, Semeton Dewata dan North Side Boys dijangka akan kembali memenuhi kembali Stadion Kapten I Wayan Dipta. Ini yang mahu Cugurra manfaatkan apabila mereka disahkan menjadi tuan rumah untuk saingan Kumpulan G.

“Sangat teruja dapat beraksi dalam pertandingan ini. Dan perkara yang terbaik esok [hari ini] adalah kami beraksi di laman sendiri iaitu di Bali. Para penyokong kami juga akan hadir menyokong kami.”

“Dua tahun kami beraksi tanpa kehadiran penyokong. Kami tahu perkara terbaik dalam bola sepak adalah melihat stadium dipenuhi penyokong.”

Stefano Cugurra, BaliUtd.com

Cugurra hanya mensasarkan kemenangan buat pasukannya demi penyokong yang hadir pada malam ini.

“Saya berharap esok [hari ini] kami dapat menampilkan aksi berkualiti demi para penyokong yang hadir dan berjaya mencatatkan kemenangan.”

“Saya merasakan stadium akan penuh esok [hari ini] dengan para penyokong yang akan memberikan semangat kepada para pemain Bali United dan memberikan tekanan ketika pemain Kedah menguasai bola.”

Mengapa beliau sering mengucapkan tentang penyokong? Juara Liga 1 Indonesia musim lalu itu memiliki penyokong yang sangat fanatik. Semua tahu bagaimana gilanya scenes Ultras di liga bola sepak Indonesia.

 

 

Di atas adalah beberapa video kerancakan sokongan Ultras North Side Boys di stadium mereka. Anda boleh nilai sendiri bagaimana pemain Kedah akan melalui perlawanan malam ini. Adakah sokongan penyokong mereka masih sama sebagaimana sebelum Covid-19 melanda dunia dahulu? Sama-sama kita nantikan malam ini.

Masih ingat bagaimana obsesnya pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon terhadap sorakan Ultras Malaya?

Bermain di laman sendiri, Kim menyedari yang penyokong adalah elemen terpenting terutamanya skuad negara yang terbukti sangat teransang apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi dengan penyokong dan sorakan bergemuruh di segenap sudut. Lawan mungkin goyah – ini diakui lawan terdahulu, tetapi pemain kita teransang!

Begitu jugalah kisahnya dengan pengendali Bali United ini yang mahu penyokong meransang kemenangan.

Selepas bertemu Kedah, Bali United akan menentang pasukan dari Kemboja, Visakha FC pada 27 Jun sebelum mengakhiri aksi kumpulan dengan menentang Kaya FC (Filipina) pada 30 Jun. Manakala buat Kedah, mereka akan bertemu Kaya FC pada 27 Jun sebelum mengakhiri aksi kumpulan bertemu Visakha FC pada 30 Jun.

Leave a Reply