Faiz Subri yang merupakan satu-satunya pemain Malaysia menjadi pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016 memberi bayangan untuk sekali lagi mengulangi pencapaian luar biasanya dalam sepakan percuma bersama kelab baharu beliau musim ini dalam Liga Super, Penang.
Jelas pakar sepakan percuma itu, sekiranya beliau tidak dapat mengulangi kejayaan tersebut dan merangkul sekali lagi anugerah berprestij itu, sekurangnya jika Faiz mampu mengulangi sekali lagi pencapaian ini mampu untuk diabadikan dalam sejarah peribadi sepanjang beraksi sebagai pemain bola sepak profesional.
Pemain sayap kiri lincah Penang ini juga berkata, dengan sentuhan ‘magis’ berkenaan juga mampu untuk membantu pasukan meraih kemenangan jika berjaya menerjah jaring lawan.
“Keinginan untuk meledak jaringan Puskas itu tetap ada pada setiap tahun walaupun tidak lagi diiktiraf FIFA kerana hanya sekali sahaja bagi seseorang pemain sebagaimana syarat ditetapkan badan induk bolasepak dunia itu.
“Tapi setakat ini rezeki belum tiba lagi. Namun saya tetap berusaha mencari sepakan seperti itu lagi dengan kerap mengadakan latihan sepakan percuma,” katanya ketika ditemui pada aksi Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, minggu lalu menerusi Berita Harian.
Sensasi yang dicipta oleh anak jati Kedah itu mula tercetus pada tahun 2016 apabila sepakan ‘magisnya’ dari jarak 32 meter pada minit ke-61 berjaya menerjah gawang gol Pahang ketika itu sekali gus merakamkan kemenangan besar buat Penang dengan keputusan 4-1. Tidak lama kemudian, gol itu berjaya dinobatkan selaku pemenang Anugerah Puskas FIFA.
Untuk persaingan musim ini, Faiz menuntut sedikit masa untuk kembali pada prestasi asal beliau sebelum ini. Jelas pemain itu lagi, cabaran lain sudah tentu untuk merebut dalam kesebelasan utama buat Penang walaupun sedar diri semakin berusia.
“Sudah tiga musim tidak beraksi pada pentas tertinggi bola sepak negara. Apabila dipanggil semula pengurusan Penang FC musim ini, rasa begitu teruja walaupun semakin berusia.
“Bagaimanapun untuk kembali seperti aksi terdahulu memerlukan sedikit masa sebab tahap Liga Super ini berintensiti tinggi berbanding Liga M3.
“Jadi saya harap dapat menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bersama pasukan terutama berkaitan keserasian,” katanya yang menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala kejuaraan musim ini.