Terengganu FC yang bertandang ke tempat lawan akan turun tanpa beberapa tonggak pasukan antaranya Wan Amirzafran Wan Nadris, Ashari Samsuddin, Khairul Anwar Shahrudin dan pemain tengah, Khairu Azrin Khazali yang bergelut dengan kecederaan.
Sang Penyu yang kini menghuni kedudukan ke-7 liga dijadualkan akan bakal berdepan pasukan di tangga ke-8 Liga Super Malaysia (MSL) 2019, PKNS FC di Stadium Shah Alam pada malam nanti.
Biarpun akan beraksi tanpa pemain-pemain tersebut, pengendali sementaranya, Nafuzi Zain sudah menyediakan pelan kedua dengan membawa masuk dua pemain iaitu Shukur Jusoh dari skuad Terengganu FC II dan pemain sayap muda, Rahmat Makasuf.
Rahmat Makasuf yang berusia 22 tahun dikatakan sudah bersedia untuk dipersembahkan kepada umum dan pemain ini berpotensi besar selepas menjulang skuad Terengganu FC III pada musim lalu.
Terengganu FC III telah menjuarai saingan Piala Presiden 2018 dan pemain sayap ini antara watak penting pasukannya dan pastinya Nafuzi Zain mahu menyediakannya untuk Piala Malaysia nanti.
Pemain berusia 30 tahun, Shukur Jusoh pula sudah pasti diketahui umum kemampuannya malah pernah beraksi bersama skuad B-23 dan skuad kebangsaan sebelum ini. Selain itu, di saingan liga, beliau juga pernah beraksi bersama Selangor dan FELDA United.
Bercakap mengenai PKNS FC, Nafuzi Zain tidak mahu memandang rekod lama yang tidak berpihak kepada skuad kendaliannya.
“Bagi saya itu hanyalah rekod sebelum ini dan apa yang penting adalah persembahan 11 lawan 11 pemain di padang malam esok.
“Kami percaya pemain mampu menewaskan mana-mana pasukan jika mereka beraksi dengan baik,” ujarnya kepada Harian Metro.
Kali terakhir Sang Penyu menang ke atas Semut Merah adalah pada 2014 dan enam pertembungan selepas itu menyaksikan mereka tewas tiga kali dan tiga kali terikat keputusan seri.
Bagi kapten, Lee Tuck, pasukannya kini sudah bersedia untuk aksi di Shah Alam dan perlu mengambil peluang atas masalah prestasi merundum skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu pada malam ini.
“Ianya tidak mudah tetapi kita perlu meraih mata penuh berdepan PKNS FC yang kini sedang bergelut dengan prestasi,” ujarnya kepada portal The Star sambil menyatakan kemenangan ke atas Kuala Lumpur pada minggu lalu meningkatkan moral pasukan.
Kredit Featured Image: Terengganu FC