Pemain tengah Selangor, Yohandry Orozco berasakan yang kerharmonian dalam kalangan pemain-pemain Gergasi Merah telah membantu meningkatkan prestasi dirinya.
Beliau yang hadir sebagai antara rekrut utama Selangor musim ini turut tidak terkecuali daripada menerima kritikan seperti yang diperoleh penyerang Ayron del Valle.
Namun begitu, sedikit demi sedikit pemain dari Venezuela ini menonjolkan persembahan yang baik dan mula diterima oleh pendukung Gergasi Merah.
Menurut laman rasmi Selangor, Orozco mendedahkan keharmonian yang begitu kuat ditonjolkan oleh para pemain Selangor telah membantu mereka berusaha mendapatkan keputusan-keputusan yang cemerlang.
“Matlamat saya bersama skuad Merah Kuning adalah untuk mencapai segalanya bersama. Kami mensasarkan untuk memenangi perlawanan demi perlawanan dengan selangkah demi selangkah.
“Bagi saya keharmonian pasukan kini lebih baik berbanding pada awal musim. Kami [pemain] akan terus bekerja keras untuk menjadi kuat bersama-sama sepanjang kejohanan berlangsung,” kata Orozco.
Permulaan perlahan yang ditonjolkan oleh Orozco kini sudah mula kelihatan semakin baik dengan pemain tersebut sudah mula menjaringkan beberapa gol penting untuk Selangor.
Orozco juga sudah sedikit sebanyak menunjukkan kalibernya sebagai pemain tengah dan ini sememangnya amat diharapkan oleh Selangor dalam usaha mencabar kejuaraan.
“Sudah semestinya saya gembira dengan prestasi diri dan pasukan setakat ini tetapi saya akan pastikan untuk berikan lebih baik buat Selangor sehingga tamat musim ini,” tambah Orozco lagi.