Kehadiran semula penaja utama, Telekom Malaysia (TM) yang kembali bekerjsama dengan Malaysia Football League (MFL) disifatkan oleh rakan kongsi sebagai mampu menaikkan lagi semangat semua pasukan untuk memulakan saingan pada musim ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tuan Haji Mohamad Azlin Mohd Nadzri turut berharap kehadiran penaja utama pada musim ini dapat memberikan keyakinan tinggi kepada semua penyokong untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan.
Ini kerana, beliau melihat MFL sudah pun memulakan usaha yang sepatutnya dan kini penyokong juga menjadi nadi utama untuk terus memartabatkan kualiti bola sepak tempatan pada masa akan datang.
“Alhamdulillah dengan kembalinya TM sebagai penaja, saya rasa ini akan membawa satu perubahan besar kepada MFL dan juga Liga Malaysia khususnya.
“Sememangnya ia memberi keyakinan lebih besar kepada penyokong dan kita tahu memang itulah harapan penyokong-penyokong bolasepak untuk melihat perubahan positif dalam saingan Liga Malaysia.
“Harapan saya agar ini akan menjadi titik permulaan untuk MFL menjadi lebih profesional dalam mengendalikan sukan nombor satu negara ini bersama sokongan daripada penyokong juga,” katanya.
Terdahulu, TM telah diumumkan sebagai penaja utama bagi kejohanan berprestij Piala Malaysia yang kini dikenali sebagai TM Piala Malaysia.
Menerusi perjanjian selama tiga tahun, TM menerusi anak syarikat TM Multimedia (TMM) itu turut menjadi penaja bersama bagi Liga Super, Piala FA, Liga Premier dan Challenge Cup di mana kerjasama ini meliputi hak penyiaran eksklusif dan hak mobile streaming serta dalam talian pada semua platform unifi TV.
Saingan Liga Malaysia 2020 bakal bermula pada 28 Februari ini yang menyaksikan pertembungan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim. Satu aksi yang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat setia bola sepak tanah air.
Kredit foto: Perak TBG