Jumlah Nilai Penajaan TM Hanya Rakan Kongsi MFL Yang Tahu

ECP

Presiden Malaysia Gootball League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin memberitahu jumlah nilai jumlah penajaan TM untuk Liga Malaysia 2020 sehingga 2022 tidak akan diberitahu kepada umum. Sebaliknya ia hanya akan diberitahu kepada rakan kongsi MFL sahaja.

“Itu sebahagian daripada syarat perjanjian kita dengan TM,” kata Datuk Hamidin dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan TM Multimedia dengan MFL di Bangsar pagi tadi.

Sebagai rekod, rakan kongsi MFL terdiri daripada pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier yang bertanding untuk musim 2020.

Pihak media bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Hamidin dan terus mendesak untuk mendapatkan jumlah nilai yang konkrit. Riak muka Presiden MFL itu menampakkan beliau tidak menggemari soalan itu sebelum menjawab:

“Saya rasa pihak media tak perlu tahu. Yang penting, rakan kongsi kita yang perlu tahu. Apa yang terjadi pada masa lepas (perjanjian penajaan dibatalkan di tengah jalan sebelum MFL bertindak menyaman TM) itu kita jadikan tauladan dan pedoman.”

Saman MFL itu kemudiannya ditarik balik oleh MFL, sekaligus menimbulkan ura-ura yang TM akan bakal kembali sebagai penaja. Khabar angin tersebut menjadi kenyataan pada pagi ini.

Datuk Hamidin juga memberitahu MFL akan mengumumkan beberapa penaja lain untuk Liga Malaysia dalam masa terdekat – dikhabarkan salah satunya adalah CIMB Bank.

Leave a Reply