Kehadiran Pemantau Bakat Dari JDT Dikesan Di Alor Setar

Pemantau bakat JDT Kedah

Benarlah kata TMJ, JDT sudah 50 langkah di depan berbanding pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan ia dikukuhkan dengan kehadiran pemantau bakat dari JDT di segenap negara.

Di mana ada kejohanan bola sepak bawah umur, di situ akan ada pemantau bakat dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kelihatan di tepi padang. Sudah lama ini berlangsung dan kali ini kelibat mereka dikesan di Alor Setar.

Ya, mereka berada di negeri ‘musuh ketat’ mereka yang mana, pemilik dan presidennya sering bertekak tentang apa jua isu mengenai bola sepak. Apa yang pasti pemantau bakat ini sedang menilai bakat muda di Kedah.

Akademi JDT bukan hanya untuk orang Johor

Tidak lama dahulu, dalam satu ditemu bual bersama pengulas Astro Arena, Hafizal Hamad, TMJ mengakui akan kelibat pemain sedang meningkat naik yang berasal dari Kedah di JDT. Mungkin ramai tertanya-tanya, bagaimana pemain itu boleh berada di JDT. Inilah hasil ‘scouting’ yang mereka gerakkan di seluruh negara.

Bukan hanya dalam kejohanan sahaja, kadang kala, mungkin bakat tersebut ditemui secara tidak sengaja.

Sebagaimana kisah yang diceritakan oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengenai satu ‘raw talent’ yang pemantau bakatnya temui di sebuah padang di sebuah sekolah di Batu Pahat.

“Kita cari [bakat muda] seluruh negara. Tiada keutamaan untuk orang Johor. Kita cari mana-mana sahaja, AMD [Akademi Mokhtar Dahari] ataupun tempat-tempat lain.”

“Ada satu budak, saya jumpa di Batu Pahat, bapanya bawa teksi. Satu hari, ‘scout’ saya pergi sana – dia dari Valencia, dia berhenti di tepi satu jalan berdekatan dengan satu sekolah. Ketika itu, dia tertengok budak-budak tengah main bola dan dia nampak satu bakat yang sangat berbakat.”

“Tapi, dia tiada kasut bola pun. Jadi, kita belikan kasut bola, kita terangkan kepada bapanya dan kita masukkan dia dalam kelab kita, akademi kita.”

Pemantau bakat JDT ketika ini berada di Alor Setar

Menurut satu perkongsian oleh seorang jurugambar di Liga M, Khairil Ajhar Jaafar, kelibat pemantau bakat dari JDT kelihatan di sebuah kejohanan yang berlangsung di Alor Setar iaitu Yakult Global Challenger (YGC) Cup 2022 – Zon Utara. Dan menurut pemerhatiannya, mungkin itulah satu-satunya pemantau bakat yang hadir.

Mungkin akan ada lagi pemain dari Kedah bakal diterbangkan ke Iskandar Puteri selepas Chia Rou Han nanti?

Chia Rou Han adalah pemain muda sedang meningkat naik yang disoalkan Hafizal Hamad kepada TMJ dalam perenggan sebelum ini. Bekas pelajar di SMK Kulim itu kini sedang beraksi bersama JDT II di Liga Premier dan telah disenaraikan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora ke saingan berprestij, AFC Champions League (ACL).

Selain pemain itu, mereka juga memiliki seorang lagi bintang muda dari Sarawak iaitu Gabriel Nistelrooy.

Menurut Khairil yang berkongsi perkara tersebut di Facebooknya, kejohanan tersebut dihadiri oleh ramai bakat-bakat muda dari seluruh negeri di utara tanah air seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya.

“[Kejohanan tersebut] Dihadiri oleh ramai ubi-ubi sekitar utara baik dari Perlis, Kedah, Penang dan lain-lain AT sekitar. Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran ‘scout’ dari JDT yang memerhatikan UBI yang baik untuk program mereka.”

Inisiatif pemantau bakat di seluruh negara bermula sejak 2017

Sekitar tahun 2017, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mengumumkan satu perkara penting mengenai pemantauan bakat-bakat muda untuk dibawa ke JDT. Mereka melantik pemantau bakat di setiap negeri dan jika pemantau bakat ini berjaya membawa masuk bakat muda ke JDT, ada habuan lumayan buat mereka.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah bersetuju untuk melantik tiga orang ‘scout’ (pencari bakat) di setiap negeri untuk mengenalpasti dan meninjau pemain yang berbakat untuk diserapkan dalam Akademi JDT dan juga pasukan JDT.”

“Kelab JDT juga bersetuju supaya inisiatif sebanyak RM10,000.00 diberikan kepada setiap ‘scout’ apabila berjaya mengenalpasti pemain-pemain tersebut.”

“Ini menunjukkan kami serius dan ia bukan sahaja untuk pembangunan akar umbi di negeri Johor tetapi juga di seluruh negara untuk pemain berbakat dapat bermain dalam kelab JDT. ‘So, get ready ubi-ubi!”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN