Hayat MK Land FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mungkin singkat, namun jasa pengasasnya dan juga impak yang ditinggalkan bekas penyerangnya, Marlon Alex James akan sentiasa terpahat di minda semua.
Siapa yang tidak kenal Marlon? Impaknya dalam saingan Liga M amatlah besar malah beliau amat sayangkan Malaysia sehingga pernah berangan-angan mahu mewakili skuad kebangsaan jika belum lagi beraksi dengan negaranya, Saint Vincent and the Grenadines. Berdasarkan rekod, beliau memiliki 55 kaps bersama negaranya.
Pengasas kelab pertama yang diwakilinya – MK Land FC, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar meninggal dunia akibat sakit tua pagi tadi pada usia 73 tahun. Beliau juga memiliki jasa terhadap industri bola sepak negara.
1. Property tycoon Mustapha Kamal, who founded Emkay Group, has died aged 73.
According to Astro Awani, the MK Land Holdings co-founder passed away at the National Heart Institute at 7.45am today, and will be laid to rest at the Bukit Kiara Muslim cemetery.
📸: EdgeProp pic.twitter.com/78EcqyJt06
— BFM News (@NewsBFM) July 25, 2022
Hayat MK Land di Liga M hanya tiga tahun
Walaupun diterajui oleh tokoh hartanah Melayu, MK Land gagal bertahan lama dalam kancah bola sepak Malaysia. Begitupun, kelab tersebut kekal berdiri tanpa melibatkan diri dalam kancah tertinggi bola sepak Malaysia selepas menarik diri pada musim 2006 akibat masalah kewangan. Mereka digantung lima tahun.
Mereka mula terlibat dalam kancah bola sepak Malaysia pada musim 2003 selepas muncul naib juara Piala FAM dan dinaikkan pangkat ke Liga Premier 2004. Dan pada musim pertama itulah mereka mengikat Marlon.
Musim pertama yang produktif buat mereka, terima kasih atas ‘kaki emas’ milik Marlon yang meledak 19 gol dan membantu mereka berada di kedudukan kedua Kumpulan B, Liga Premier 2004. Musim berikutnya, Marlon meledak 22 gol dan membantu mereka menamatkan musim di tangga ke-3 Kumpulan A, Liga Premier.
Itu adalah musim terakhir MK Land dalam saingan di Liga M dan Marlon meneruskan legasi ke Kedah.
In Malaysian football context, he was the chairman of MK Land FC, who competed in Liga Premier in 2004 & 2005 and famously introduced a certain Marlon James to the league. Rest in peace. https://t.co/IFsTyNIQi4
— Lee Seng Foo🇲🇾李成富 (@sengfoo88) July 25, 2022
FAM turut zahirkan ucapan takziah
Sebentar tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan takziah dan menghargai sumbangan Allahyarham terhadap industri bola sepak menerusi penampilan MK Land FC dalam saingan Liga M sebelum ini.
“Pengasas syarikat pemaju hartanah MK Land itu menyumbang dalam industri bola sepak menerusi penampilan MK Land FC dalam Liga FAM dan seterusnya Liga Premier pada 2004-2005, dengan antara lain memperkenalkan penyerang Marlon Alex James ke pentas tempatan, selain membariskan Mohd Noor Derus, Abdul Ghani Abdul Rahman, Ooi Hoe Guan dan Leong Hong Seng.”
“Legasi Allahyarham adalah Akademi NPNG-Emkay yang terus-terusan memberi ruang kepada remaja di peringkat akar umbi untuk aktif dalam bola sepak.”
Jelas sekali sebenarnya Allahyarham masih terlibat dalam bola sepak negara di peringkat akar umbi menerusi Akademi NPNG-Emkay. Amat kuat kecintaannya terhadap dunia bola sepak walaupun kelabnya digantung oleh FAM. Malah, MK Land kembali ke saingan Piala FAS anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 2014.