Status pemain naturalisasi dan warisan sememangnya antara topik hangat sering dibincangkan dalam kalangan peminat bola sepak di tanah air.
Sejak beberapa tahun ini, Malaysia dilihat semakin terbuka untuk mendaftarkan lebih ramai kekuatan pemain warisan serta naturalisasi sebagai tenaga baharu untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Ada sesetengah penyokong menganggap ianya sebagai sesuatu keperluan buat Malaysia bagi menambah kekuatan di segenap posisi mengikut keperluan jurulatih.
Namun, ada pendapat juga menyatakan ianya seolah telah membuang identiti skuad kebangsaan yang kini tidak lagi didominasi oleh para pemain tempatan.
Walaupun begitu, suka atau tidak kehadiran para pemain tersebut sebenarnya berjaya melonjak kembali maruah bola sepak negara di persada antarabangsa selepas tampil tidak konsisten sebelum itu.
Malah, ianya diakui sendiri oleh pakar bola sepak negara iaitu Mohd Azraai Khor Bin Abdullah yang melihat situasi itu sebagai suatu perkara positif buat skuad kebangsaan.
Azraai menyifatkan ianya merupakan suatu kebiasaan dalam dunia bola sepak untuk menggunakan segala sumber bagi memastikan keputusan positif mampu diraih terutama dalam saingan Piala Asia 2023.
Jelas pengendali berpengalaman itu lagi, kehadiran pemain naturalisasi dan warisan sebenarnya telah pun mengisi kelompongan di beberapa posisi sebelum itu yang sukar untuk diatasi anak tempatan.
“Jika dibandingkan dahulu sememangnya kita tidak menggunakan pemain kacukan atau naturalisasi untuk mengharungi kejohanan antarabangsa.
“Namun, sekarang ini segalanya sudah berubah kerana kita perlu menggunakan sumber atau mengumpul kekuatan lain seperti pemain kacukan dan naturalisasi untuk menguatkan pasukan.
“Kehadiran mereka(pemain kacukan dan
naturalisasi) menguatkan lagi barisan pemain skuad Harimau Malaya sekali gus mampu memberi saingan kepada pasukan Asia Barat yang rata-ratanya memiliki fizikal tinggi,” katanya menerusi Harian Metro.
Untuk saingan kali ini, Kim Pan-gon telah pun menyenaraikan sembilan pemain warisan iaitu Matthew Davies, Corbin Ong, Dion Cools, Daniel Ting, Junior Eldstal, Brendan Gan, Natxo Insa, Stuart Wilkin, serta Darren Lok.
Manakala pemain naturalisasi dipanggil untuk memperkuatkan Malaysia bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 pula membabitkan Endrick dos Santos, Paulo Josue, Mohamadou Sumareh, serta Romel Morales.
Walaupun membabitkan sejumlah besar pemain naturalisasi dan warisan, Azraai menganggap ianya langsung tidak menutup ruang untuk tonggak tempatan tampil menyerlah.
“Seperti sedia maklum pemain seperti Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid menjadi antara pilihan utama Pan-gon untuk menggempur kubu lawan sekali gus menyaksikan mereka juga mampu bersaing dengan tonggak kacukan serta naturalisasi,” katanya akhir sekali.