Kegagalan Lalu Jadi Pemangkin Kebangkitan Hassan Sazali Waras Bersama Skuad B-19 Malaysia

Hassan Sazali Waras

Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya, itulah semangat yang menyelubungi diri pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras menjelang saingan Piala AFF B-19 yang bakal berlangsung dari 2 hingga 19 Julai ini di Indonesia.

Ini bukanlah kali pertama Hassan mengendalikan barisan B-19 negara kerana beliau pernah diberi kepercayaan tersebut pada 2015 yang menyaksikan barisan muda negara sekadar meraih tempat keempat di Vientien, serta gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia B-19 pada tahun tersebut.

Hassan yang juga pengendali Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier musim ini optimis, dia kini lebih bersedia mengendalikan barisan muda negara berbanding tujuh tahun lalu.

“Ya, saya percaya kini saya lebih berpengalaman sebagai seorang jurulatih berbanding ketika 2015. Namun, ketika saingan 2015 juga barisan muda negara berada dalam kumpulan yang lebih sukar berbanding edisi kali ini.

“Saya juga percaya barisan kali ini dibarisi pemain bawah 19 tahun terbaik negara yang sebahagian besar adalah pemain graduan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD),” kata Hassan ketika dihubungi pada Sabtu.

Meskipun barisan B-19 negara pada 2015 gagal cetus kejayaan, ramai pemain daripada generasi itu ketika ini menjadi tonggak skuad senior negara kini antaranya ialah, Safawi Rasid, Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba.

Saingan Piala AFF B-19 kali ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.

Bagi Hassan, Laos dan Timor Leste adalah lawan yang beliau perlu awasi dalam kumpulan ini meskipun barisan negara di atas kertas diramal mudah menguasai kumpulan ini.

“Di peringkat belia, Laos dan Timor Leste menunjukkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jadi mereka adalah lawan yang tidak boleh dipandang mudah pemain kami.

“Kami perlu berada dalam tahap terbaik apabila berdepan dua pasukan ini dan jika berjaya, saya percaya kita mampu melangkah jauh kali ini,” kata Hassan.

Kriteria utama Hassan dalam menentukan barisan akhir ke Indonesia adalah pemain yang mampu beraksi dalam lebih daripada satu posisi dan ketika ini, penyerang muda Sabah Azhad Harraz antara yang memenuhi kriteria tersebut.

“Saya ada cuba memainkan Azhad selaku pemain tengah dan juga penyerang ketika aksi persaahabatan berdepan Singapura baru-baru ini dan ternyata dia mampu cemerlang di dua posisi tersebut.

“Untuk kejohanan berbentuk karnival seperti Piala AFF, penting untuk kita berupaya melakukan pergiliran pemain dan untuk melakukannya, pemain yang berada dalam senarai akhir perlu mampu beraksi dalam lebih daripada satu posisi,” kata Hassan.

Dalam pada itu, Hassan juga yakin beliau kini turut dibantu tenaga kejurulatihan yang berpengalaman di peringkat akar umbi dan kehadiran mereka juga amat penting untuk barisan muda negara mencanang kejayaan.

Hassan kini dibantu bekas jurulatih skuad Piala Presiden dan Belia Selangor Noor Zaidi Rohmat selaku penolong ketua jurulatih dan bekas penjaga gol kebangsaan, Hamsani Ahmad selaku jurulatih penjaga gol.

“Ya memang Zaidi dan juga Hamsani mempunyai rekod baik selaku jurulatih di peringkat akar umbi. Kedua-dua mereka juga pernah bersama tenaga kejurulatihan beberapa pasukan utama Liga-M.

“Memang pengalaman mereka penting buat pasukan dan ia juga dapat memudahkan saya selaku ketua jurulatih dalam mengendaikan barisan muda negara,” tambah Hassan.

Selain saingan Piala AFF, satu lagi tugasan penting buat skuad kendalian Hassan ialah saingan kelayakan Piala Asia B-20 yang bakal berlangsung September depan di Ulaanbaatar,yang menyaksikan Malaysia bersaing dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Mongolia dan Sri Lanka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN