Kedah Sudah Temui Jalan Keluar Kepada ‘Masalah’ Di Posisi Bek Kiri?

syazwan zainon kedah darul aman bek kiri 2021

Adakah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah menemui penyelesaian kepada posisi bek kiri mereka yang tampak mungkin sedikit kekurangan ‘watak’?

Setakat ini, Kedah hanya memiliki seorang pemain ‘natural’ yang beraksi di bek kiri iaitu Ariff Farhan Md Isa. Beliau telah kembali semula selepas dua musim berkelana ke luar bersama PKNS FC dan FELDA United. Kedah sebelum itu kehilangan tiga pemain yang merupakan tonggak posisi itu iaitu Azmeer Yusoff, Alif Yusof dan Norfiqrie Talib.

Pemain import yang beraksi baik di posisi itu sebelum musim 2020 berakhir, Shakir Hamzah pula dilepaskan kerana mahu mengutamakan slot import untuk posisi lain. Kedah sudah memiliki seorang pertahanan import dikekalkan, Renan Alves.

Daniel Ting hanya ‘rumours’, Ariff Farhan pula ‘berkaki kaca’

Sebelum itu, ada khabar angin pemain kacukan Malaysia-England, Daniel Ting bakal menyertai Kedah selepas perbincangan bersama sebuah kelab di Lembah Klang menemui jalan buntu. Jika benar, ia adalah penyelesaian terbaik buat Kedah.

Daniel Ting juga boleh beraksi di posisi bek tengah (posisi nombor 4 dan 5). Untuk rekod, beliau pernah beraksi Liga Malaysia bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Negeri Sembilan FC dan yang terakhir adalah bersama PKNS FC (kini Selangor 2) pada 2018. Umum mengetahui, Aidil Sharin sukakan pemain serba boleh sebegini.

Namun, beliau akhirnya sah menyertai Kuala Lumpur United. Dan ini membuatkan Kedah kekal memiliki seorang bek kiri yang sebenarnya berkaki ‘kaca’. Mengapa Ariff Farhan dikatakan sebegitu? Beliau mudah mengalami kecederaan berpunca daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) yang dialaminya pada 2016.

Boleh dikatakan beliau masih tercari-cari semula rentak permainannya sejak pulih pada 2017, selepas berehat hampir lapan bulan. Beliau mengalami kecederaan serius itu pada 2016, ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang PDRM.

Ariff Farhan sudah pulih sepenuhnya?

Pada musim 2020, bersama FELDA United, Ariff Farhan boleh dikatakan tonggak utama pasukan kendalian Nidzam Jamil itu dengan membuat 10 daripada 11 penampilan dan merekodkan 760 minit permainan daripada 990 minit sepatutnya.

Sebelum itu, bersama PKNS FC, beliau selaku pemain baharu perlu bersaing sengit dengan Qayyum Marjoni yang merupakan pilihan utama. Beliau hanya beraksi lima kali bersama skuad yang dikendalikan bekas pengendali skuad negara, Datuk K. Rajagobal.

Adakah beliau sudah pulih sepenuhnya dari segi mental dan fizikal daripada kecederaannya itu? Jika beliau kembali tercedera, siapa yang akan mengambil alih posisi tersebut? Semua sedia maklum, Zulkhairi Zulkeply boleh beraksi di situ, namun ia bukanlah posisi dominannya. Jadi, apa penyelesaian di kem Kedah?

Dalam satu perkongsian di laman Facebook Kedah Darul Aman FC baru-baru ini, secara tiba-tiba seorang pemain berkata beliau mahu mencuba posisi itu.

Syazwan Zainon, daripada pemain sayap ke bek sayap?

Pemain sayap yang juga kembali ke Kedah, Syazwan Zainon ada berkongsi, jika dibenarkan oleh jurulatih, beliau mahu cuba beraksi di posisi bek kiri.

Sebagaimana Ariff Farhan, Syazwan Zainon juga berhijrah keluar pada 2019 dan beraksi bersama Selangor untuk dua musim sebelum kembali ke pangkuan Kedah. Mengapa beliau kembali? Persoalan terbesar kerana posisinya sudah terisi sempurna.

Dengan formasi 4-3-3, pada musim lalu, tempat beliau bermain lebih kerap diisi oleh Kipre Tchetche selepas berjaya mengetepikan Hadin Azman untuk berganding baik bersama Kpah Sherman. Kedah juga memiliki Fayadh Zulkifli sebagai penggantinya.

Adakah beliau akan ditransformasikan menjadi bek sayap kiri? Tidak dapat dipastikan selagi tiada aksi pemanas badan untuk kita lihat perancangan pasukan.

Pertukaran posisi pemain sayap kepada bek sayap paling berhasil di Liga Malaysia dalam era terkini sudah tentunya jatuh kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), S. Kunanlan. Bermula pada tahun 2014, beliau tampil sebagai bek kanan skuad negara dan hingga kini, bolehkah anda menamakan pemain yang mampu singkirkannya?

Adakah akan berhasil tukarkan posisi Syazwan Zainon?

Jika sebagai pemain bek sayap, tiada masalah untuk beliau menyesuaikan diri. Jika beraksi di jentera sayap pun, beliau perlu membantu benteng sekiranya pasukan diserang oleh lawan. Mungkin dari segi latihan akan berubah, iaitu lebih ‘defending’. Namun, tidak banyak pemain di dunia yang mampu cemerlang di dua posisi tersebut.

Tidak salah untuk menyebut, mungkin di dunia ini, yang sangat cemerlang di posisi tersebut antaranya adalah Dani Alves, Marcelo dan Roberto Carlos.

Walaubagaimanapun, tidak salah untuk mencuba, sekiranya ia adalah satu keperluan buat pasukan. Jika JDT berani mengambil risiko pada awalnya untuk tukarkan posisi Kunanlan selepas beliau cemerlang tampil di posisi itu bersama skuad kebangsaan, mungkin pasukan lain juga boleh mengambil risiko dan solusi yang sama.

Untuk Kedah, belum ada keperluan kerana dua pemain boleh bermain di posisi itu. Namun, jika Zulkhairi Zulkeply yang posisi dominannya adalah bek tengah, lebih diperlukan untuk membantu Renan Alves dan Rodney Calvin sebagai pemain backup, Aidil Sharin perlu menyediakan, mungkin, Syazwan Zainon sebagai pilihan lain.

Apa pendapat Semuanya BOLA

Semuanya BOLA pernah membuat analisis permainan pemain berusia 31 tahun ini, kira-kira tiga tahun lalu, ketika beliau bermain bersama Kedah.

Apa yang dirumuskan adalah beliau merupakan pemain sayap yang pantas, gemar memecah masuk ke dalam kotak penalti sekerap yang boleh, serta beliau sangat lasak dan bertenaga terutama sekali apabila mula mendapat top speed dalam larian.

Kekurangannya sebagai pemain sayap adalah beliau tiada kreativiti, penyudahnya ‘ke bulan’, sukar membuat keputusan, direct dan predictable selain tidak mementingkan diri. Karekter-karekter sebegini mungkin membolehkan beliau di’groom’ untuk menjadi bek sayap disamping untuk terus beraksi di posisi sayap sambil menanti peluang.

KREDIT FEATURED IMAGE: myinfosukan

Baca lagi artikel lain mengenai Syazwan Zainon dan Kedah:

Piala AFC 2021: Terengganu Ada Peluang, Laluan Kedah Sedikit Berliku

Dilanjutkan Semusim Lagi Bersama Kedah, Renan Alves Janji ‘Baiki’ Diri

Analisis: Syazwan Zainon Pemain Penyerang Sayap Bermobiliti Tinggi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN