Kedah Masih Ada Potensi Berdepan Hukuman Penarikan Lesen Kebangsaan

Kedah Darul Aman (Kedah) dilaporkan sebagai antara pasukan yang masih berpotensi untuk tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super untuk musim 2024/2025.

Kenyataan itu dikeluarkan sendiri melalui laman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ekoran pasukan tersebut masih diberikan tempoh terakhir untuk mereka sekurangnya melangsaikan 50 peratus tunggakan gaji secara berperingkat.

Umum mengetahui Kedah menjadi antara pasukan yang berada pada saat kritikal sebelum ini sehingga memungkinkan mereka untuk berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan.

Selain Kedah, satu lagi pasukan yang memiliki masalah tunggakan gaji sejak tahun lalu ialah Kuala Lumpur City (KL City) dan kelab tersebut turut diberi arahan sama oleh MFL untuk menyelesaikannya.

“Dalam perkembangan lain, FIB telah memberikan tempoh masa terakhir kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.

“KDA FC dan KL City diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.

“Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB,” jelas kenyataan tersebut.

Sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua pasukan tersebut mengenai penyelesaian isu tunggakan gaji yang membelenggu pemain sejak tahun lalu.

Malah, Kedah dilihat seolah sudah bersedia untuk mengharungi saingan hadapan dengan beberapa pemain baharu sudah pun menyertai mereka dalam sesi latihan.

Ada kemungkinan besar pasukan tersebut sudah pun menerima dana sepatutnya untuk mereka sekurangnya cuba melangsaikan dulu sebanyak 50 peratus seperti diletakkan oleh syarat berkenaan.

Perkembangan lain menyaksikan Perlis United masih belum boleh menarik nafas lega untuk beraksi di Liga Super musim 2024/2025 kerana masih perlu memenuhi syarat tambahan untuk Singa Utara mendapat lesen luar biasa (extraordinary license).

“Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendengar permohonan PUFC menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB) yang telah membuat semakan dan penilaian teliti dokumen-dokumen yang diserahkan kelab M3 Amateur Football League (AFL) itu.

“Selain PUFC, turut mengemukakan permohonan adalah kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot ke-14 selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

“Setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

“Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

“PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan. Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, YAB Tn Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

“Walau bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.

“MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada PUFC dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN