Kedah Layak Bergelar Juara Liga Super, Ini 3 Faktornya

Kedah antara pasukan yang agak menonjol pada pra musim kali ini dengan menandatangani beberapa pemain bintang tempatan serta berjaya mendapatkan kualiti pemain import baharu yang dilihat amat bagus.

Naib juara Liga Super untuk dua musim berturut-turut sebelum ini sering dilihat sebagai pencabar yang sangat liat untuk ditewaskan serta tampil menyakinkan dalam setiap perlawanan.

Pada musim lalu, Kedah berjaya mengenepikan cabaran lawan seperti Terengganu, Penang, serta Selangor yang pada awalnya dijangka menduduki tangga kedua carta liga sebelum Kedah terus mengambil alih dengan siri kemenangan dan konsistensi pada penghujung liga.

Untuk musim ini, kami melihat Kedah sebagai salah satu pasukan yang berpotensi untuk meraih gelaran Juara Liga Super setelah menilai beberapa faktor dari segi persiapan yang dibuat.

Pengalaman Aidil Sharin

Faktor ini dilihat agak kuat memandangkan sudah empat musim beliau mencipta empayar bersama pasukan Kedah dan setakat ini Aidil sudah menggapai satu kejuaraan iaitu Piala FA pada musim 2019.

Aidil juga berjaya membawa Kedah ke tahap yang lebih baik pada setiap musim dengan memgambil pemain import dan tempatan yang berbeza untuk diaplikasikan dalam taktikal yang beliau gunakan dalam pasukan.

Untuk rekod sepanjang bersama Kedah, pengendali yang berasal dari Singapura ini berjaya meletakkan Kedah untuk dua musim berturut-turut menjadi naib juara Liga Super, menjuarai Piala FA pada 2019, melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia 2019, melepasi pusingan pertama kelayakan ACL 2020, serta dua kali meraih slot ke Piala AFC.

Untuk musim ini, Aidil dilihat semakin matang dalam mendapatkan barisan pemain yang seimbang dan dilihat bersesuaian dengan terapan taktikal. Kemungkinan besar, corak permainan Kedah juga bakal berubah dengan lebih positif.

Barisan Pemain Tempatan Yang Menyakinkan

Walaupun diakui Kedah kehilangan dua tonggak yang sering membantu pasukan ini mencipta kejuaraan iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali, skuad ini terus melangkah dengan mendapatkan pemain baharu selaku pengganti yang dilihat sangat menyakinkan.

Amirul Azhan dan Khairu Azrin dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua bekas pemain Kedah itu dan kedua pemain baharu ini mempunyai kualiti yang tidak kurang bagus serta gaya permainan yang seakan sama.

Selain Amirul Azhan dan Khairu Azrin, Kedah juga mengikat beberapa lagi muka tempatan baharu seperti Al-Hafiz Harun, Amer Azahar, Azmeer Aris, serta beberapa pemain muda yang berbakat dari skuad Piala Presiden Kedah.

Rodney Calvin pula diikat terus oleh Kedah setelah sebelum ini pemain pertahanan itu berstatus pinjaman daripada pasukan Selangor FC.

Kedah juga berjaya mendapatkan khidmat penyerang negara, Syafiq Ahmad menerusi status pinjaman daripada pasukan Johor Darul Takzim untuk memperkukuhkan jentera serangan.

Antara muka yang dikekalkan adalah Syazwan Zainon, Azamuddin Akil, serta Shahril Shaari yang dilihat dapat menyeimbangkan pasukan menerusi status senior mereka untuk membimbing pemain-pemain yang jauh lebih muda dengan pengalaman yang mereka ada.

Jika dilihat, Kedah berjaya mencipta ‘squad depth’ yang lebih bagus dan setiap pemain dilihat mempunyai kualiti yang sama rata bagus untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan menerusi sistem penggiliran.

Pemain Import Yang Lebih Mantap

Kedah setakat ini berjaya mendapatkan 4 pemain import di setiap posisi yang berbeza. Dijangka pemain import terakhir akan diumumkan dalam masa terdekat untuk menyertai sesi latihan bersama pemain yang lain.

4 pemain import tersebut adalah, Jang Suk Won bagi slot Asia, Dechi Marcel di slot antarabangsa, Ronald Ngah yang juga antarabangsa, dan Dennis Buschening untuk slot Asean.

Pemain import terakhir yang merupakan slot antarabangsa dikhabarkan oleh sesetengah peminat Kedah merupakan Marc Vales yang merupakan pemain kebangsaan Andorra.

Apa yang membuatkan Kedah bakal tampil menyerlah pada musim ini berdasarkan dua pemain tumpuan kami yang sudah ditandatangani iaitu Ronald Ngah dan Dechi Marcel.

Ronald Ngah merupakan penyerang utama bagi bekas kelab, Al Salt yang telah meletakkan diri beliau selaku penjaring terbanyak sepanjang beraksi di Liga Jordan musim lalu.

Pemain ini juga mempunyai rekod yang sangat bagus sepanjang karier beliau sebelum bersama Kedah dan pernah beraksi bersama skuad kebangsaan, Cameroon pada tahun 2015 dan 2016.

Ronald Ngah juga merupakan wajah baharu yang pertama kali akan beraksi di Liga Malaysia musim ini dan bakal menjadi tanda tanya mengenai corak permainan beliau yang bakal dihadapi pertahanan lawan.

Selain itu, Dechi Marcel juga merupakan salah satu pemain yang sangat menarik untuk diperkatakan. Beliau yang bakal membuat penampilan untuk musim keenam dalam Liga Malaysia kali ini berdepan suatu cabaran baharu bersama Kedah.

Marcel merupakan pemain yang sangat menyerlah sepanjang bersama Terengganu pada musim lalu atas faktor kerajinan, lasak, dan kreatif mengawal kawasan tengah.

Umum diketahui Kedah mempunyai masalah di bahagian tengah sejak beberapa musim dan lebih bergantung melalui pemain sayap untuk membuka ruang serangan.

Kehadiran Marcel ibarat nafas baharu yang amat diperlukan Kedah dan aksinya sepanjang berada di Liga Malaysia sudah membuktikan yang beliau antara pemain import di bahagian tengah yang sangat berkualiti untuk dipertaruhkan mana-mana pasukan.

Selain itu terdapat juga beberapa faktor lagi yang boleh disenaraikan seperti Kedah berjaya mendapatkan jurulatih kecergasan baharu dan lebih berketerampilan serta sikap penyokong yang sentiasa menjadi tulang belakang pasukan ini dalam menggapai kejayaan dengan sokongan yang sangat fanatik diberikan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN