Selamat datang Ramadhan! Itulah ucapan alu-aluan daripada KFA kepada penjaga gol baru mereka itu. Ramadhan sebelum ini bermain untuk pasukan Kelantan.
Saga perpindahan pemain ini sudah berlegar sejak minggu lalu lagi. Akhirnya KFA berjaya memuktamadkan juga perjanjian ini.
Beliau akan menyarung jersi no.60 sebagai penjaga gol ketiga pasukan tersebut. Dalam kenyataan media mereka, KFA menyatakan:
“Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah mengikat kontrak bersama penjaga gol muda dari Kelantan FA bagi mengisi kekosongan slot penjaga gol ketiga bagi baki saingan musim 2018.”
“Pihak pengurusan memutuskan untuk mengisi slot penjaga gol ketiga selepas Abd Hadi belum bersedia untuk beraksi dalam masa terdekat.”
“Ramadhan Hamid, berumur 24 tahun, adalah pemain muda berbakat pernah beraksi buat Harimau Muda B seangkatan dengan Syazwan Tajudin, Hanif Dzahir, Syawal dan Mohd Akram.”
“Berjuanglah sejiwa murni!”
Mohamad Ramadhan Bin Abdul Hamid adalah penjaga gol yang berusia 24 tahun. Beliau memiliki fizikal yang sangat baik dengan ketinggian 6 kaki 1 inci.
Majlis tandatangan kontrak dan pengumuman itu turut dihadiri CEO, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Encik Yusdi Madeonus Mohamad Yunus.
Beliau meninggalkan Kelantan atas persetujuan bersama untuk penamatan kontrak. Hal itu disahkan sendiri oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani pada minggu lalu. Ramadhan sendiri menyatakan hasrat beliau untuk bermain bersama-sama Lang Merah.
“Ya Ramadhan sah akan keluar dari pasukan ini dan hari ini KAFA akan membuat surat pelepasan kepadanya untuk menyertai Kedah.”
“Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan yang dipersetujui antara kedua pihak dan Ramadhan juga seorang pemain yang boleh bertolak ansur.”
“Beliau mahu beraksi dan kalau masih bersama Kelantan pun dia jarang dapat diberi peluang, jadi kita terima kehendaknya untuk berhijrah ke Kedah.”