Skuad helang merah masih belum mengangkat bendera putih dan tekad mengejutkan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Perak, malam esok meskipun ketiadaan beberapa tonggak utama.
Ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff berkata kepada Berita Harian, istilah putus asa tidak wujud dalam pasukannya dan mereka tetapi memburu kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
“Walaupun kami masih tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama seperti Liridon (Krasniqi), Paulo Rangel, Andik (Vermansyah), Akhyar (Rashid) dan Ariff (Farhan Isa) pada perlawanan menentang Perak kali ini, namun semua pemain bersatu hati dan tetap fokus serta bersemangat mahukan dua kemenangan bagi baki perlawanan Liga Super.
“Cabaran memburu kemenangan di Ipoh mencabar kerana beraksi di tempat lawan, namun saya yakin pemain sedia memberikan komitmen, fokus serta bersemangat dalam misi memburu kemenangan.
“Kekosongan tempat yang diisi oleh beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden antaranya seperti Hidhir Idris dan Fadzrul Danel menampakkan kesungguhan mereka memikul tugas dengan penuh disiplin dan bersedia.” katanya.
Nidzam juga lega pertahanan import Alvaro Silva akan kembali diturunkan selepas selesai menjalani penggantungan perlawanan susulan menerima kad kuning.
“Alvaro akan kembali untuk memperkasakan benteng pertahanan Kedah dalam aksi kali ini selepas tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Terengganu dan kami yakin dia semakin bersemangat.
“Kami sedar Perak mendapat suntikan motivasi berikutan kemenangan besar membelasah Kuala Lumpur 5-1 Rabu lalu dan inilah cabaran yang harus dilalui Kedah.” ujarnya.
Skuad Helang Merah kini berada di tangga kelima carta Liga Super dengan 31 mata. Kemenangan ke atas Perak bakal melonjakkan kedudukan pasukan itu di tangga ketiga.