Kedah Beri ‘Guard of Honour’ Buat JDT, Ketepikan ‘Banter’ Demi Semangat Kesukanan

Kedah Darul Aman (KDA) bakal mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi pada malam ini di Stadium Darul Aman (SDA) menjelang aksi pertemuan mereka bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini kerana, pasukan tersebut sah bakal membuat isyarat hormat kepada juara Liga Super 2022, JDT setelah disahkan sendiri menerusi Facebook rasmi KDA sebentar sahaja tadi.

Menurut kenyataan dari Facebook tersebut, acara tersebut bakal dibuat sebagai tanda bola sepak itu merupakan wadah perpaduan dan simbol hormat kepada lawan.

“Isyarat penghormatan daripada KDA FC dengan membawa tanda, bola sepak adalah perpaduan dan hormat kepada pasukan lawan.

“Seterusnya, membuktikan walaupun bermusuh di atas padang, namun hormat menghormati antara pasukan, penyokong adalah kunci kepada perpaduan sejagat melalui bolasepak,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama, KDA juga menyeru agar para penyokong turut mendoakan supaya perlawanan malam ini dapat berjalan dengan lancar menerusi semangat kesukanan tinggi dipamerkan oleh para pemain di atas padang serta di kawasan penonton.

“Sang Kenari akan melakukan GUARD OF HONOUR kepada pasukan JDT malam ini sebagai penghormatan kepada pasukan Harimau Selatan itu, selepas menjuarai Liga Super 2022.

“Mengalu-alukan kedatangan penyokong Harimau Selatan dan juga Sang Kenari dijangka sekitar 15,000 kehadiran malam ini, KDA FC mendoakan perlawanan berjalan dengan semangat kesukanan yang tinggi di atas padang dan juga di zon penonton,” tambah kenyataan rasmi KDA itu lagi.

Perlawanan malam ini dijangka bakal menjanjikan sesuatu yang hebat setelah kedua pasukan tersebut masing-masing mempunyai suatu persengketaan di media sosial sejak beberapa tahun ini.

JDT yang bakal tampil selaku juara Liga Super 2022 lebih awal, dilihat bakal turun tanpa sebarang tekanan biarpun beraksi di gelanggang lawan.

Manakala KDA pula, Aidil Sharin telah menyatakan akan kembali bangkit pada aksi malam ini setelah mereka mencatat kekalahan di tangan Petaling Jaya City (PJ City) beberapa hari lalu di gelanggang sama.

Sekiranya perlawanan malam ini berakhir dengan tenang, ia bakal menjadi contoh terbaik buat para pemerhati bola sepak dengan sukan tersebut tidak menyebabkan sebarang persengkataan berlaku, melainkan hanya bermusuh di atas padang selama 90 minit sahaja.

Leave a Reply