RASMI: Piala Malaysia 2022 Diadakan Secara Kalah Mati

Saingan Piala Malaysia 2022 akan diadakan dengan menggunakan format yang sama dengan Piala FA.

Keputusan ini disahkan oleh Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan mereka.

Sebelum ini, saingan Piala Malaysia diadakan dengan 16 pasukan akan bertanding dalam empat kumpulan.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke suku akhir dan dari situlah format kalah mati bermula.

Namun untuk edisi 2022, kesemua 16 pasukan akan beraksi secara kalah mati dengan perlawanan timbal balik diadakan.

Kesemua perlawanan akan diadakan secara timbal balik sehinggalah aksi separuh akhir. Perlawanan akhir akan diadakan sebagai perlawanan tunggal di gelanggang neutral.

Keputusan untuk menggunakan format ini adalah hasil persetujuan ahli lembaga pengarah MFL yang mengambil kira faktor cuaca tidak menentu serta kepadatan jadual.

Malah, ianya akan cukup dekat tarikh persediaan untuk skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF 2022 yang berlangsung pada Disember 2022 hingga Januari 2023.

“Pada 29 September 2022, MFL telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia di mana memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat pada bulan Oktober sehingga Disember 2022.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim 2022 disebabkan penularan Covid-19 didalam beberapa pasukan dan juga kejohanan-kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan,” kata MFL lagi.

Dalam masa yang sama, perjalanan Piala Malaysia akan bermula bergantung kepada penyertaan Kuala Lumpur City dalam Piala AFC.

Jika skuad Warga Kota layak ke perlawanan akhir, Piala Malaysia hanya akan bermula pada 25 dan 26 Oktober 2022.

Dan jika mereka terkandas di separuh akhir pada malam esok, sepak mula Piala Malaysia akan bermula pada 21 dan 22 Oktober 2022.

Saingan Piala Malaysia kali ini akan menyaksikan 11 pasukan Liga Super dan lima wakil Liga Premier menyertai kejohanan.

Melaka United yang sepatutnya layak digantikan dengan Penang kerana penyertaan mereka dibatalkan akibat isu pembayaran gaji pemain dan staf.

Leave a Reply