‘Kebangkitan Super Safawi’ – 5 Perkara Daripada Kejayaan Malaysia Baham Laos

Kemenangan 4-0 ke atas Laos dianggap sebagai keputusan positif untuk skuad Harimau Malaya yang memburu kejuaraan kedua Piala AFF sejak kali pertama melakukannya pada 2010.

Kemenangan kedua berturut-turut ini juga bermakna Malaysia selesa mendahului saingan Kumpulan B setakat ini hasil dua kemenangan – menjaringkan tujuh gol, dan dibolosi hanya satu jaringan.

Berikut adalah lima perkara yang boleh kita ambil dari perlawanan menentang Laos sebentar tadi.

Super Safawi

Sebelum ini nama Safawi Rasid sentiasa mengujakan penyokong bola sepak Malaysia. Namun untuk panggilan ke skuad Piala AFF kali ini, tiada harapan besar diberikan kepada beliau.

Ia berikutan prestasi merudum Safawi sebelum ini sejak kecederaan yang dialaminya pada awal musim – sebaik pulang dari Portugal.

Prestasi Safawi pada musim ini bersama JDT juga secara keseluruhan juga dianggap biasa-biasa sahaja. Penglibatan beliau bersama Harimau Malaya di pusingan kedua kelayakan Piala Asia/Piala Dunia pula dianggap mengecewakan.

Di sebalik prestasi tidak menentu selama ini, Safawi kini telah meledak empat gol daripada dua perlawanan untuk Malaysia – termasuk hatrik menentang Laos.

 

Ia bukanlah jaringan jaringan trademark hasil larian ‘cut-inside’ dan rembatan kaki kiri yang biasa dilakukannya sebelum ini. Tetapi tiga jaringan menentang Laos tadi, Safawi menempatkan diri di posisi yang betul untuk meledak jaringan.

Ia adalah hasil ‘killer-instict’ yang seperti sudah hilang daripada pemain itu sebelum ini. Merupakan pemain sayap dan mampu menjaringkan gol melalui tandukan juga membuktikan pemain ini adalah seorang penyerang all-rounder. Gol ketiga Safawi pula adalah kejayaan beliau melepasi perangkap offiside – persis No.9 berpenngalaman – menjadikan hatrik yang dihasilkan cukup sempurna.

Sudah tentu kita harapkan rentak cemerlang oleh Safawi Rasid berterusan sepanjang kejohanan Piala AFF ini. Prestasi Safawi setakat ini juga mengingatkan kepada kita mengapa beliau dianggap sebagai salah seorang pemain paling bernilai di Malaysia pada hari ini.

Arif Aiman tidak mengecewakan

Memanggil semula Arif Aiman selepas tidak menamakan pemain itu di dalam senarai awal skuad kebangsaan untuk Piala AFF 2020 mungkin adalah keputusan paling penting pernah dilakukan oleh Tan Cheng Hoe sepanjang bergelar Ketua Jurulatih skuad kebangsaan.

Konsisten sepanjang musim bersama kelab dan negara, ketiadaan Arif pada mulanya dianggap sebagai merugikan oleh rata-rata pemerhati bola sepak tempatan.

Dua assist setakat ini telah dihasilkan oleh Arif dalam perlawanan ini. Hanya melalui serangan pertama ke kubu Laos, Arif membuktikan mengapa beliau boleh menjadi antara pemain terpenting pasukan negara di kejohanan dwi tahunan itu – dengan satu assist yang disempurnakan oleh Safawi di far post untuk gol pembukaan pasukan negara.

Gerakan dan lariannya sentiasa meyakinkan dari sebelah sayap kiri. Permainan matang ditampilkan oleh penyerang sayap JDT ini membuktikan beliau bersedia menyahut cabaran untuk beraksi di tahap tertinggi bila-bila masa sahaja khidmatnya diperlukan.

Double pivot Baddrol-Mukhairi

Kredit juga harus diberikan kepada gandingan Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal di posisi tengah pasukan negara.

Umum mengetahui posisi tengah, terutama di bahagian defensive midfielder adalah masalah utama pasukan negara selepas penarikan diri beberapa pemain akibat kecederaan.

Kecederaan yang menimpa Junior Edstal turut tidak membantu keadaan semasa di dalam kem negara di Singapura. Digandingkan buat kali pertama, sumbangan Baddrol dan Mukhairi setakat ini wajar dipuji.

SINGAPORE, SINGAPORE – DECEMBER 06: Baddrol Bakhtiar of Malaysia in action during the AFF Suzuki Cup Group B match between Cambodia and Malaysia at the Bashan Stadium on December 6, 2021 in Singapore, Singapore. (Photo by Lim Weixiang/Getty Images)

Di dalam sistem Tan Cheng Hoe, kedua-dua beroperasi sebagai double pivot. Kedua-duanya tenang (composure) mengawal bahagian tengah sejak di awal perlawanan ketika Laos sedang rajin mengasak.

Kedua-dua pemain juga berjaya menggerakkan serangan, sekaligus menguasai bahagian tengah untuk memastikan stabiliti pasukan – dengan hantaran-hantaran yang menghubungkan bahagian pertahanan dan juga serangan. Baddrol sempat menghasilkan satu assist dalam perlawanan ini yang disempurnakan oleh Shahrul Saad.

No.9 pasukan negara

Tiada pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dalam kesebelasan utama menentang Laos kali ini. Pemain dari Brazil itu sebelum ini dikritik hebat oleh ramai.

Bukan sahaja kerana De Paula gagal menjelmakan sebarang jaringan dalam perlawanan menentang Kemboja sebelum ini, tetapi juga kerana work-rate pemain itu yang dianggap sebagai malas.

Ketiadaan pemain itu menyaksikan Luqman Hakim berada di dalam kesebelasan utama. Pemain KV Kortrijk itu kemudiannya digantikan oleh Shahrel Fikri pada babak kedua perlawanan.

Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol, Luqman dan Shahrel dilihat lebih efektif untuk terlibat dalam perlawanan.

Luqman misalnya bijak mencari ruang untuk melibatkan diri dalam perlawanan. Shahrel pula bijak menempatkan diri di tempat yang tepat untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun kedua-dua pemain harus menyempurnakan lagi aspek sentuhan penyudah agar peluang yang terhidang tidak disia-siakan. Dalam perlawanan yang lebih getir seperti berhadapan Vietnam nanti, kegagalan memanfaatkan peluang terhidang mungkin akan mengundan padah.

Perancangan menjadi Tan Cheng Hoe

Kredit juga harus diberikan kepada pengendali pasukan negara Tan Cheng Hoe untuk dua kemenangan yang dihasilkan pasukan negara di Singapura setakat ini.

Paling menjadi adalah sistem rotasi yang dilakukan oleh beliau. Berbanding perlawanan menentang Kemboja, tiga pertukaran dilakukan untuk perlawanan menentang Laos. Akhyar Rashid yang cemerlang dalam perlawanan menentang Kemboja turut direhatkan.

Setakat ini man-management Tan Cheng Hoe ketika perlawanan juga berkesan.

Ini kerana skuad Tan Cheng Hoe kali ini dilihat juga memiliki barisan pemain simpanan yang mampu menggalas dan memberikan sumbangan yang sama seperti pemain kesebelasan utama yang lain.

Antaranya Shahrel Fikri, Arif Fadzillah, Dominic Tan, dan Kogileswaran Raj yang turut mampu menghasilkan impak positif kepada pasukan.

Rumusan

Sudah tentu Vietnam dan Indonesia akan memberikan saingan dan cabaran yang berbeza berbanding Laos dan Kemboja. Tetapi tidak boleh dinafikan ia permulaan yang baik untuk pasukan negara yang merekodkan dua kemenangan setakat ini.

Apa pendapat anda tentang perlawanan sebentar tadi? Kongsiukan dengan kami. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN