Ketika ini sedang heboh diperkatakan mengenai seorang pemain muda negara, M. Kavishkumar yang akan berangkat ke negara matahari terbit, Jepun, untuk menghadiri sesi ujian bersama kelab J-League, Gamba Osaka.
Walaupun hanya bermain di Liga Super Kuala Lumpur, iaitu bersama kelab Victoria Institution FC, namun bakatnya telah dihidu oleh kelab yang berpengkalan di Jepun tersebut. Menurut The Sukan, ianya hasil bantuan penjejak bakat dari Jepun yang dikenali sebagai Asaba-san.
Asaba-san dikatakan telah berminat kepada Kavishkumar sejak melihat aksinya ketika dia berada di Manchester United Soccer School pada tahun 2014. Sejak dari itu, Asaba-san telah mengikuti rapat perkembangan pemain berusia 20 tahun ini.
Gamba Osaka juga dikatakan pernah memberikan peluang buat Kavishkumar pada tahun lalu untuk mencuba nasib bersama skuad B-23 tahun mereka yang sedang bermain di divisyen 3 Jepun, J3 League.
Kini, Gamba Osaka sekali lagi menjemput Kavishkumar untuk diuji dalam tempoh sebulan bermula pada 5 Oktober depan. Selain kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu, Kavishkumar juga diberitakan akan diuji oleh kelab J3 League, Fujieda MYFC.
Ketika ini, Fujieda MYFC sudah memiliki seorang pemain dari Asean, iaitu pemain muda Kemboja, Chan Vathanaka, yang menyerlah dalam Kejohanan AFF 2016, yang lalu. Vathanaka sedang beraksi secara pinjaman dari kelab asalnya, Boeung Ket Angkor.
Sekiranya Kavishkumar berjaya menyertai samaada Gamba Osaka ataupun Fujieda MYFC, dia akan menjadi pemain ketiga negara yang berpeluang beraksi di J-League selepas Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim Che Hashim pada tahun 2013.
Walaupun jodoh kedua-dua pemain tersebut bersama FC Ryukyu tidak lama, ia telah menempa sejarah baharu negara, di mana pemain dari Malaysia juga mampu memikat kelab-kelab daripada Jepun. Sebab sebenar jodoh mereka tidak lama telah dijelaskan oleh Semuanya BOLA.
Selain itu, turut bertiup kencang ketika ini berita mengenai kapten Thailand, Theerathon Bunmathan yang dikatakan sedang diintai Cerezo Osaka. Cerezo Osaka adalah musuh setempat kepada kelab yang akan menguji Kavishkumar, Gamba Osaka.
Theerathon berpeluang untuk mengikut jejak bintang muda mereka, Chanathip Songkrasin yang sedang beraksi secara pinjaman di kelab Consadole Sapporo. Consadole Sapporo ketika ini berada di kedudukan ke-14, J1 League.
Sumber Rujukan:
- Seng Foo, Stadium Astro (2017): Malaysian youngster to head to Japan for trial
- Football Tribe (2017): Cerezo Osaka eye Thailand captain Theerathon Bunmathan signing