Presiden Bayern Munich, Karl Heinz-Rummenigge mengakui Schalke 04 sebenarnya berpeluang besar untuk muncul juara Bundesliga sekiranya skuad dikenali sebagai Die Konigsblauen itu tidak menjual pemain-pemain utama mereka.
Rummenigge yang dikatakan telah menawarkan untuk memberikan bantuan kewangan kepada Schalke nyata memuji kualiti barisan produk muda dimiliki kelab tangga ke-12 kempen Bundesliga 2019/20 itu.
Pemain-pemain ternama seperti Manuel Neuer, Mesut Ozil dan Leroy Sane adalah merupakan produk keluaran akademi Schalke 04 yang kini sudah pun mencapai tahap pemain berkelas dunia.
Tidak terkecuali juga buat Ilkay Gundogan, anak jati Gelsenkirchen yang pernah menganggotai skuad remaja Schalke sebelum berhijrah ke pasukan lain pada usia mudanya.
Namun, perkara biasa bagi kelab-kelab yang tidak memiliki sumber kewangan yang begitu kukuh, sudah pasti masalah tersebut akan sentiasa menjadi penghalang buat mereka untuk terus berkembang seperti kelab gergasi lain.
Keadaan itu memaksa mereka untuk menjual pemain-pemain yang sebenarnya merupakan aset berguna buat kelab, demi survival dalam mengharungi satu-satu musim.
”Kelompok pemain yang datang dari pasukan remaja mereka merupakan antara yang terbaik di seluruh Jerman,” ujar Rummenigge menurut laporan Goal.
”Schalke mampu untuk menjadi juara Bundesliga sekiranya mereka dapat mengekalkan ramai pemain yang berlatih dengan baik di peringkat remaja.”
”Faktanya, mereka sentiasa menjual pemain yang sangat berbakat, sebagai contoh Leroy Sane ke Manchester City pada tahun 2016, untuk memenuhi keperluan kewangan mereka.”
Dalam perkembangan lain, bagi mengimbangi sumber kewangan pasukan, Schalke 04 dikatakan akan mengenakan gaji siling sebanyak €2.5 juta bagi setiap pemain pada musim hadapan.
‘”Setiap pasukan harus mencari falsafah mereka yang tersendiri. Isu struktur gaji pasukan adalah merupakan perkara yang amat sensetif,” tambah Rummenigge lagi.