Penjaga gol Liverpool, Loris Karius disahkan telah menyertai Besiktas di Turki selama dua tahun secara pinjaman.
Karius tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif untuk Liverpool sejak dua kesilapan yang dilakukannya dalam perlawanan akhir UEFA Champions League menentang Real Madrid.
Penjaga gol yang berasal dari Jerman itu tampil dalam 49 perlawanan untuk kelab Merseyside tersebut setelah menyertai Liverpool dari Mainz pada 2016.
Mengulas pemergian Karius, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dipetik sebagai berkata:
“Ia adalah perpindahan yang bagus untuk Karius. Beliau sudah tidak sabar untuk ke sana.”
Besiktas menamatkan saingan liga di tangga ke-4 pada musim lalu, dan hanya empat mata di belakang Galatasaray yang merangkul kejuaraan.
Selepas dua perlawanan musim ini, Besiktas kini berada di kemuncak liga selepas mencatatkan dua kemenangan awal.
Besiktas juga berada di dalam landasan untuk melayakkan diri ke UEFA Europa League pada musim ini.
“Besiktas adalah pasukan yang berpengalaman dan mempunyai peluang untuk merangkul kejuaraan pada musim lalu. Kini mereka memiliki seorang penjaga gol yang berkualiti,” tambah Klopp.
Dua kesilapan oleh Karius adalah punca utama kekalahan 3-1 Liverpool kepada Real Madrid pada Mei lalu, selain daripada kecederaan yang dialami oleh pemain bintang Mohamed Salah.
Liverpool bagaimanapun mengesahkan Karius sebenarnya mengalami gegaran otak, yang mendorong beliau melakukan kesilapan tersebut setelah sebelum itu bertembung dengan pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos.
Ketibaan Karius di Besiktas disambut dengan meriah, sejak beliau mendarat di Turki.