Pemain Real Madrid, Karim Benzema kini sudah bersedia untuk melupakan segala yang dimiliki oleh dirinya dalam kancah bola sepak bersama kelab itu untuk bermain di liga baharu.
Ketua pasukan kepada gergasi Sepanyol itu dikhabarkan sudah mula tertarik kepada cabaran baharu di Timur Tengah dan ingin menyertai bekas rakan seperjuangan iaitu Cristiano Ronaldo beraksi di Arab Saudi.
Menurut laporan Foot Mercato, Benzema yang merupakan figura utama Real pasca era Ronaldo dikatakan bersedia untuk berpindah ke Arab Saudi dan menyertai Al-Ittihad.
Benzema dikatakan bersedia untuk mengharungi lembaran baharu dalam kariernya apabila ingin meninggalkan Real pada musim ini.
Dengan potensi liga Arab Saudi akan menjadi lebih hebat reputasinya dengan kehadiran Ronaldo sertai Lionel Messi yang dikaitkan dengan Al-Hilal, Benzema benar-benar tertarik untuk menyertai mereka.
Benzema dikatakan telah bertemu dengan pihak pengurusan Real dan mengatakan hasrat untuk meninggalkan pasukan tersebut. Malah, pihak Al-Ittihad juga dikatakan sudah mula menghampiri Benzema untuk membawa pemain itu ke Arab Saudi.
Jika perpindahan ini berjaya dengan Messi juga berhasil dibawa ke Arab Saudi, pastinya kancah bola sepak negara itu akan semakin hebat reputasinya dan akan mula menjadi titik tolak kepada kebangkitan sukan tersebut di sana.
Benzema musim ini berjaya membantu Real memperoleh gelaran Copa Del Rey selepas terlepas mendapatkan La Liga dan UEFA Champions League.