Membedah DNA Konsistensi JDT

45 perlawanan tanpa kalah di Liga Super sejak April 2021. Menang semua, menjaringkan 49 gol (purata 4 gol per perlawanan) dan hanya bolos satu di saingan Liga Super 2023. Rekod JDT membolot kesemua 36 mata selepas 12 perlawanan Liga Super pada musim ini adalah yang paling terbaik dalam sejarah liga.

Tiada siapa menyangka rekod cemerlang JDT musim lepas (menang 10, seri 2 dan 32 mata) selepas 12 perlawanan boleh diatasi. Rupa-rupanya boleh.

Apa yang membuatkan JDT konsisten? Sejak bergelar juara liga pada musim 2014, JDT tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perlahan langsung. Champions fatigue? Tiada langsung.

Jika susuk konsistensi JDT boleh dianalisis sehingga ke unit paling kecil iaitu DNA, apakah DNAnya? Saya menelaah lebih 7,000 post Johor Southern Tigers di Facebook dan menyimpulkan ada 7 DNA yang membentuk konsistensi JDT di atas padang.

Penyesuaian fizikal

Aspek penyesuaian fizikal, atau physical conditioning, sepatutnya telah dititikberat oleh pasukan Liga Super sejak dahulu lagi. Amat menyedihkan apabila masih ada pemain terpaksa mandi menggunakan paip getah di tepi padang selepas latihan.

Atlet yang sentiasa berada dalam keadaan fizikal terbaik cenderung untuk lebih konsisten. Keadaan fizikal terbaik tidak hanya terhasil daripada sesi latihan di padang sahaja.

Ia turut melibatkan aspek nutrisi pemakanan, rehat yang cukup dan kemudahan pemulihan yang terbaik – contohnya mesin terapi hidrogen. Mundar laju ke hari ini, kemudahan pemulihan di pusat latihan JDT kini setanding dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia.

Pengurusan kecederaan

Atlet tidak boleh mempamerkan konsistensi jika sentiasa dibelenggu kecederaan. Atas sebab inilah, seboleh-bolehnya setiap atlet perlu mempunyai akses kemudahan pengurusan kecederaan yang terkini.

Dalam aspek ini, JDT sekali lagi merupakan pelopor di Malaysia. Pemain-pemain diberi akses kepada doktor dan kemudahan terbaik di dunia. Syafiq Ahmad dan Syamer Kutty, antara beberapa pemain JDT yang pernah mendapat rawatan dari Dr Juan Manuel Boffa – pakar bedah sukan yang pernah berkhidmat untuk Manchester City dan Barcelona.

Kualiti padang

Selepas menjuarai Ligue 1 pada 2014, bekas pengurus PSG Laurent Blanc mengucapkan terima kasihnya kepada seorang lelaki Ireland Utara dengan berkata, “16 mata yang kami kutip musim ini adalah hasil kerjanya.” Siapa lelaki Ireland Utara tersebut?

Namanya ialah Jonathan Calderwood. Beliau bekerja sebagai penyelenggara padang Parc des Princes – padang sama yang pernah merangkul gelaran padang terbaik Ligue de Football Professionnel sebanyak enam kali sejak ketibaannya dari Aston Villa.

Ada sebab mengapa TMJ berkeras mahukan JDT bermain di atas padang terbaik – sejak dari zaman di Stadium Tan Sri Hassan Yunos lagi. Padang yang berkualiti membolehkan JDT bermain corak menyerang bertempo tinggi dan memaksimumkan output pemain-pemainnya.

JDT

Kualiti kejurulatihan

Bagaimana untuk mengekalkan konsistensi dan momentum pasukan tika kala ketua jurulatih silih berganti? Kualiti.

Anda perlu mengaku TMJ mempunyai mata tajam terhadap kualiti. 11 ketua jurulatih telah dipilih untuk mengemudi JDT. Tetapi setiap satunya mempunyai kualiti tersendiri.

Buktinya dari senarai 11 ketua jurulatih ini, dua daripadanya pernah mengendali pasukan selain JDT di Liga Super: Fandi Ahmad dan Bojan Hodak. Fandi kini gah di tangga ke-3 liga (sebagai perbandingan, Sri Pahang berada di tangga ke-11 liga selepas 12 perlawanan pada musim lepas). Hodak pula bertanggungjawab menamatkan kemarau piala 21 tahun Kuala Lumpur dengan menjuarai Piala Malaysia 2021.

Bojan Hodak

Struktur & rutin tetap

Setiap juara adalah makhluk rutin. Anda tak bergelar juara tanpa disiplin dan struktur kehidupan yang bebas. Michael Phelps terkenal dengan rutin berenang 80km seminggu dan tidur dalam kebuk beraltitud tinggi untuk meningkatkan jumlah sel darah merah dan staminanya.

Mendiang Kobe Bryant terkenal dengan ‘Mentaliti Mamba’nya – di mana beliau mewajibkan dirinya menjadi orang pertama tiba dan orang terakhir balik gim dan membuat 400 shots sehari di luar musim.

Di JDT, setiap pemain melakukan ujian fizikal dan kesihatan pada hari Selasa dan Rabu untuk memantau keadaan pemain menjelang musim 2023. Ujian ini adalah untuk memantau tahap kesihatan dan membantu pakar nutrisi JDT menentukan makanan apa yang perlu diambil bagi menjamin kecergasan.

Pengalaman & ilmu

“Anda membayar kos pendidikan pemain muda dengan mata. Kalau saya mainkan pertahanan tengah 20 tahun, saya tahu dia akan rugikan saya beberapa mata dan saya perlu cekal menerima (kos)nya. Pertahanan tengah 28 tahun, yang mungkin kurang berpotensi, mungkin takkan buat saya rugi mata. Tapi saya tak akan dapat beri pemain muda pengalaman bermain,” kata Arsene Wenger mengenai kecenderungannya memberi pemain muda peluang bermain.

Tapi apa akan jadi bila perkembangan pemain muda digabungkan dengan pengalaman pemain senior seperti Aidil Zafuan, Jordi Amat, Fernando Forrestieri atau Safiq Rahim? Hasilnya berganda. Anda takkan rugi mata. Dan pemain muda mendapat peluang bermain. Arif Aiman, Feroz Baharuddin dan Adam Farhan adalah hanya beberapa nama pemain akademi JDT yang mendapat manfaat ini.

Kekuatan mental

Bola sepak adalah industri yang penuh dengan pendapat bermacam-macam. Atas sebab itulah, kelab bola sepak merupakan antara institusi yang cenderung untuk berjaya daripada pendekatan top-bottom management (pengurusan atas bawah) yang cekap. Dan di bawah kepimpinan TMJ, JDT adalah contoh paling jelas kejayaan pendekatan ini.

Kita boleh melihat kekuatan mentaliti, fokus dan set minda TMJ berjaya diterjemahkan oleh pemain-pemainnya di atas padang. Disebalik cacian dan makian dari penyokong lawan, pemain JDT mampu kekal tenang, menyerap tekanan dan kekal fokus di atas padang secara konsisten.

Jadi inilah dia: 7 DNA yang menjelaskan mengapa JDT sangat konsisten di dalam mahupun di luar padang. Dan jika anda lihat semua pasukan-pasukan berjaya seantero dunia, semua – ya, semuanya dari Barcelona, Real Madrid, Manchester City, Bayern Munich dan banyak lagi – mempunyai 7 DNA ini.

Tetapi seperti ilmu yang anda perolehi dari seminar keusahawanan, perkara paling sukar bukanlah mengenalpasti apakah ramuan kejayaan. Sebaliknya – implementasi. Bab sembang, semua orang boleh buat. Tapi dalam bab implementasi, TMJ menunjukkan baginda lebih daripada sekadar pakar sembang.

Anda boleh mula ‘sembang’ di ruang komen sekarang.

Nota editor: Artikel ini merupakan kiriman daripada Hanif Saharuddin yang merupakan pengikut bola sepak tempatan. Jika anda ingin menulis kepada kami, hantarkan artikel minimum 300 patah perkataan dalam format MS Word ke [email protected]

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN