Kapten Wales, Ashley Williams terpaksa menjalani pembedahan pada paru-paru setelah turut beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Mexico yang berakhir tanpa jaringan pada Selasa lalu.
Pemain pertahanan Everton itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-17 perlawanan yang berlangdiing di Rose Bowl Pasadena, Amerika Syarikat, selepas pertembungan dengan Javier Hernandez.
Williams yang kemudiannya melakukan pemeriksaan di Hospital Ronal Reagan UCLA di Beverly Hills, turut disahkan mengalami beberapa bahagian yang patah pada dua tulang rusuk.
Ini adalah penampilan sulung pemain berusia 33 tahun dalam perlawanan kompetitif sejak tampil bersama Everton menentang Burnley pada 3 Mac lalu.
“Ini adalah beberapa minggu yang pelik. Gembira dapat kembali menyarung jersi Wales FA bersama rakan sepasukan yang lain. Namun terpaksa dikeluarkan selepas 20 minit perlawanan akibat patah tulang rusuk.”
“Saya telah pergi ke hospital dan mengetahui ianya adalah kecederaan paru-paru (Pneumothorax),” ujar Williams melalui akaun Facebook milik beliau.
“Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Hospital Ronald Reagan UCLA di Beberly Hills ini kerana menjaga saya dengan baik selepas pembedahan, dan memastikan saya sentiasa selesa.”
“Saya hanya berharap boleh terbang kembali untuk berehat dan bersiap sepenuhnya sebelum permulaan musim hadapan,” ujar Williams lagi.
Pengurus Wales, Ryan Giggs turut mengesahkan keadaan Wiliiams.
“Williams pergi ke hospital untuk membuat X-ray. Jangkaan awal kami ialah tiada kecederaan serius. Mungkin hanya patah tulang rusuk.”
“Ia kelihatan sangat menyakitkan. Setiap kali bernafas, bersin atau batuk, anda akan merasakan kesakitan itu. Sekarang kita harapkan Williams akan pulih secepat yang mungkin kerana ia penting untuk pemain cergas sepenuhnya bagi menghadapi latihan pra musim,” jelas Giggs.