Quantcast

BERITA

Kami Anak Felda Pertimbang Ambil Alih Felda United

Badan NGO, Kami Anak Felda (KAF) dilaporkan serius sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih pengurusan kelab bola sepak Felda United.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan pihak pengurusan tertinggi Felda mahu melepaskan Felda United yang bersaing di dalam saingan Liga Malaysia sejak 2007.

Cadangan oleh KAF untuk menerajui pengurusan Felda United dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini.

Menurut Ketua Biro Ekonomi KAF, Datuk Amizar Abu Adam pihaknya terlebih dahulu perlu meneliti beberapa perkara seperti pengurusan dan kewangan sebelum sebarang kata putus dibuat demi memastikan pengambil alihan pengurusan kalab bola sepak itu mencapai matlamat memperkasakan kelab itu.

“Secara dasarnya kita terbuka dan menerima kerana ia adalah platform kepada generasi muda Felda dan ruang untuk KAF menyumbangkan bakti.

“Buat masa ini kita belum ada kata putus dan ia belum diperhalusi secara jelas mengenai cara pentadbiran, pengurusan serta lain-lain. Kita kena perhalusi dan susun balik apa yang perlu,” katanya di sini, hari ini.

Biro Sukan KAF turut akan mengadakan perbincangan lanjut berkenaan perkara tersebut dalam masa terdekat, dan hasil perbincangan akan dibentangkan kepada kepimpinan NGO tersebut sebelum langkah seterusnya diambil.