Kami Akan Sentiasa Main Begini Kerana Ini Kekuatan PJ City, Tegas P. Maniam

Sunil Chandran PJ City Sabah Liga Super 2021

Bermain bertahan dan menanti untuk mengasak lawan dalam serangan balas adalah gaya permainan PJ City FC dan ia akan kekal begitu, menurut pengendali, P. Maniam.

Mereka merupakan antara lima pasukan yang merekodkan jumlah bolos terendah selepas 14 perlawanan iaitu dengan 14 bolos selain Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan enam bolos, Terengganu FC (12), Kedah Darul Aman FC (13) dan Penang FC (14).

Dalam aksi Liga Super ke-14 malam tadi, PJ City sekali lagi tampil tidak bolos apabila menewaskan Sabah FC dengan keputusan 1-0. Ia sudah cukup buat mereka untuk memintas kedudukan The Rhinos dan menduduki tangga ke-7 liga dengan 18 mata.

Sunil Chandran muncul wira buat skuad kendalian P. Maniam itu apabila ledakan kaki kirinya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Robson Rendy, seminit sebelum pengadil perlawanan, Hamdan Awang meniup wisel penamat.

The Phoenix turun di gelanggang sendiri dengan tekanan lebih besar sebenarnya selepas tewas dua kali berturut-turut di Stadium MBPJ, tewas 1-2 kepada Selangor FC dan 0-1 kepada Perak FC dalam perlawanan yang berlangsung pada Mei lalu.

Sebelum ini mereka juga merekodkan enam perlawanan tanpa bolos dan mungkin disebabkan mereka ‘pakar’ bertahan, P. Maniam masih kekal dengan pendekatan itu dan menanti lawan membuat kesilapan untuk melancarkan counter-attack.

Ungkapnya dalam sidang media, “Saya lihat ini [bertahan dan serang balas] adalah kekuatan kami dan kami mahu sentiasa memanfaatkannya. Jika kami bermain build-up play, dapat dilihat Sabah membuat lebih banyak tekanan kepada kami.”

“Kami jadi buntu [untuk menyerang] dan itulah puncanya kami tidak boleh bermain build-up play. Dan saya rasa Sabah telah membuat ulangkaji gaya permainan kami dan datang ke sini untuk memburu tiga mata penuh, namun ia gagal,” ujar P. Maniam.

Sabah berpeluang meledak gol seawal minit ke-12 menerusi percubaan daripada sepakan percuma Saddil Ramdani tetapi ditumbuk keluar oleh Kalamullah Al-Hafiz.

Beliau sekali lagi menggagalkan gerakan antara Saddil Ramdani dan Amri Yahya apabila menyelamatkan tandukkan Josip Ivancic yang menerima hantaran lintang Amri Yahya, selain bola yang terbias dari Solomon Raj pada minit ke-42.

Minit ke-75, Kalamullah sekali lagi menafikan rembatan deras Saddil Ramdani di dalam kotak penalti untuk tuan rumah kekal mempertahan gawang dari dibolosi lawan.

“Sabah adalah pasukan yang bagus dengan lima pemain import. Mereka jelas sangat kuat dengan Amri [Yahyah], Saddil [Ramdani] dan penyerang import mereka [Josip Ivancic]. Tetapi kami berjaya untuk tidak dibolosi. Itu sangat indah bagi saya.”

“Secara taktikalnya para pemain telah mengikuti perancangan pasukan dan mereka menyesuaikan diri dengan baik. Kita dapat lihat banyak perkara positif dalam pasukan pada ketika ini tetapi kita perlu baiki serangan kita,” tambah P. Maniam lagi.

Selepas ini PJ City akan berdepan Kedah pada Selasa diikuti Sri Pahang FC pada 1 Ogos depan. Begitupun, aksi berdepan Kedah masih belum dapat dipastikan dek kerana dua pemain lawan mereka itu telah dijangkiti COVID-19, semalam.

Baca lagi artikel tentang PJ City FC:

Akibat Diving Dramatik, Pemain PJ City Diheret Ke Jawatankuasa Tatatertib FAM

Kenapa Benjamin Mora Anggap Kemenangan Ke Atas PJ City Antara Aksi Terbaik JDT?

Penyelesaian Kepada Safee Sali, Kenapa Tidak Kembali Ke PJ City?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN