Kami Ada Lebih 11 Pemain Yang Boleh Bermain, Tegas Karsten Neitzel

Selangor 11 pemain Karsten Neitzel Kedah Liga Super 2021

Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel tegaskan skuadnya bukan merangkumi 11 pemain sahaja kerana pemain-pemain simpanan juga memiliki peranan penting.

Sejak melalui siri kecederaan pemain-pemain utama mereka, Karsten Nietzel dengan beraninya terpaksa menyenaraikan pemain-pemain muda daripada skuad Selangor 2 untuk membarisi skuad utama Liga Super, walaupun ia bermula agak kekok.

Sejak liga kembali bersambung, Selangor hanya tewas sekali dan telah menang tiga perlawanan berturut-turut sejak menewaskan Penang FC 4-1, diikuti UiTM FC 2-0 dan terbaru, mengatasi pencabar kejuaraan Liga Super, Kedah Darul Aman FC 4-2.

Ia percaturan yang memberikan hasil buat pengendali yang berasal dari Jerman itu. Selangor kini berada di kedudukan ke-4 liga, dengan mengumpul 29 mata, di atas Kedah dengan perbezaan tiga mata, walaupun pada awal musim, mereka dikecam.

Pada aksi minggu lalu, Selangor merupakan pasukan yang membariskan skuad termuda dalam saingan minggu ke-17 liga dengan purata umur 25.71 tahun, mengatasi Terengganu FC yang dikatakan dalam proses membina skuad muda.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh OptaJ, Terengganu kini telah jatuh ke kedudukan ke-4 dengan purata umur pemain yang diturunkan 26.71 tahun.

Di sidang media selepas aksi berdepan skuad Hijau Kuning, Karsten Neitzel berkata, “Kami memiliki lebih daripada 11 pemain [yang boleh bermain]. Ini sentiasa menjadi cabaran kepada barisan kejurulatihan untuk berkomunikasi dengan semua pemain.”

“Ia sangat penting [komunikasi]. Saya berharap pemain-pemain simpanan merasai yang mereka sentiasa memainkan peranan penting dalam pasukan dan perlawanan.

“Dalam aksi sebelum ini, menggunakan pemain simpanan, kita mampu menang. Mereka juga mampu menghasilkan gol. Ia penting kerana bagi sesetengah pemain simpanan, tidak mudah buat mereka [raikan] apabila pasukan menang,” jelasnya.

“Ia cabaran yang besar kepada barisan kejurulatihan untuk memberi keyakinan kepada keseluruhan pasukan sepanjang musim ini, bukan hanya dalam 10 aksi pertama sahaja. Saya rasa, setakat ini kami melakukannya dengan baik,” tambahnya lagi.

Dalam aksi malam tadi, hatrik penyerang sensasi, Ifedayo Olusegun dan jaringan pemain muda, Danial Asri telah berikan The Red Giants tiga mata berharga untuk melonjak mereka memintas kedudukan Kedah buat seketika di tangga ke-4 liga.

Kedah berpeluang untuk memintas kembali Selangor jika mereka menang ke atas Penang FC pada Selasa. Kedah kekurangan aksi selepas berehat untuk dua minggu akibat penangguhan perlawanan disebabkan kes positif COVID-19 dalam skuad.

Leave a Reply