Kebanyakan pemain import baharu yang ditandatangani oleh kelab Liga Malaysia (Liga-M) menjelang pra musim ini disifatkan sebagai biasa sahaja walaupun ada segelintir daripada mereka pernah beraksi di kelab-kelab ternama dan mempunyai pengalaman beraksi di liga yang lebih berkualiti.
Effendi Jagan Abdullah selaku ejen berpengalaman dapat menerima profil para pemain import itu setelah melihat kualiti Liga M serta mengambil kira mengenai kewangan setiap pasukan yang bertanding.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
“Perpindahan berprofil tinggi kalau contoh daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kita terus bawa dia masuk ke Liga Super. Tetapi boleh tahanlah (pemain yang masuk) .
“Kalau ada yang boleh kita katakan menyerlah sedikit pun, mungkin Fernando Forestieri (ke Johor Darul Ta’zim) tetapi yang lain, pada pandangan saya, semuanya biasa-biasa.
“Kalau mereka bagus sangat dan berprofil tinggi, mereka tidak akan datang ke sini. Bukan saya mahu jatuhkan liga kita tetapi kita kena terima hakikat sebegini.
“Apapun, kita tunggu bagaimana prestasi mereka selepas enam bulan untuk lihat sama ada wajar ataupun tidak mereka dilabel perpindahan berprofil tinggi,” katanya kepada BH Sukan.
Sambil itu, beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd turut memberi pendapat mengenai faktor gaji bukanlah menjadi punca utama mengapa ramai import hadir ke negara ini untuk memulakan cabaran mereka.
Menurut Effendi, gaji yang ditawarkan oleh para pasukan untuk mendapatkan khidmat mereka telah dipotong terlalu jauh berbanding gaji sebelum itu yang pernah dirasai mereka khususnya sebelum wabak pandemik Covid-19.
“Nak kata mereka datang sebab gaji pun tidak juga kerana kebanyakan mereka pun tidak menerima gaji yang tinggi seperti sebelum ini.
“Sebagai contoh sebelum COVID-19, gaji pemain ada yang sampai AS$30,000 (RM125,000) tetapi sekarang, gaji pemain import sekitar AS$8,000 (RM33,400) ke AS$15,000 (RM62,600) sahaja,” katanya.
Pada musim ini beberapa pasukan telah berjaya membawa masuk pemain import yang dilihat agak berkualiti seperti Fernando Forestieri, Billy Ketkeophomphone, Marc Vales, dan Jackson De Souza yang dilihat hadir dengan reputasi agak tinggi sebelum datang ke Liga Malaysia.