“Kalau Boleh Nak Menang”- Elavarasan Akui Aksi Pertama Berdepan Laos Bakal Mencabar

Malaysia bawah 22 (B-22) bakal membuka tirai saingan pertama mereka dalam acara bola sepak bagi saingan Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan pertemuan sulung menentang Laos.

Selepas tampil cemerlang sebelum itu dalam aksi Merlion Cup di Singapura, pastinya para penyokong mengharapkan yang terbaik bagi aksi sulung Malaysia B-22 pada kejohanan kali ini.

Walaupun begitu, ianya dilihat sedikit meresahkan selepas tempoh persiapan untuk menghadapi aksi Sukan SEA kali ini agak singkat berbanding negara-negara lain.

Tambahan cuaca di Kemboja kini dilaporkan sangat panas dan ianya mungkin akan memberi kesan buat para pemain untuk cepat menyesuaikan diri pada hari perlawanan.

Dilaporkan suhu di Kemboja kini mencecah antara 39 sehingga 40 darjah celcius yang pastinya antara perkara diawasi kem Malaysia untuk mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku.

Apapun, pengendali skuad kebangsaan B-22 iaitu E. Elavarasan memberi keyakinan mengenai anak-anak buahnya tidak akan berdepan masalah untuk menghadapi keadaan suhu di sana.

Malah, beliau juga yakin para pemain kendaliannya mampu menyesuaikan diri dengan baik untuk menghadapi Laos pada perlawanan pertama mereka hari ini.

“Kita ada satu lagi persiapan untuk esok (semalam) dan apa pun persediaan dekat sana (Kemboja), kena biasakan dengan cuaca. Itu antara perkara yang kita akan buat.

“(Suhu) lebih kurang Malaysia dan saya rasa dalam tempoh tiga hari menjalani latihan di sini, kita sudah biasakan pemain kita dengan cuaca yang panas itu,” kata Elavarasan menerusi laporan daripada Harian Metro.

Pada masa sama, Elavarasan juga mengakui aksi pertama ini sentiasa menghadirkan cabaran berat buat pemain negara, terutama sekali pertemuan menentang Laos yang sebelum itu sudah pun mengharungi aksi sulung.

“Ia perlawanan yang sukar tetapi kalau boleh kita nak menang. Kita kena pastikan boleh dapatkan tiga mata dan Laos juga pasti mahukan keputusan yang positif juga.

“Peluang terbuka kepada semua pasukan walaupun ada Thailand dan Vietnam dalam kumpulan ini. Semua yang bertanding berada pada tahap usia yang sama, jadi semua mampu memberi cabaran,” katanya lagi.

Untuk saingan kali ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meletakkan sasaran supaya barisan pemain B-22 negara mara ke final, setelah musim lalu mereka terkandas di pusingan separuh akhir.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN