Penjaga gol utama Kedah Darul Aman (Kedah), Kalamullah Al-Hafiz optimis pasukan diwakilinya itu mampu untuk mencipta kebangkitan bagi memastikan tempat ketiga Liga Super 2023 menjadi miliki mereka.
Kedah bakal menghadapi misi getir mereka pada hari ini dengan pasukan tersebut bakal berkunjung ke Likas untuk menghadapi Sabah bagi perlawanan terakhir mereka musim 2023.
Terdahulu, Kedah telah pun melepaskan peluang terbaik mereka untuk menamatkan cabaran Liga Super musim ini dengan status sebagai naib juara setelah mereka ditewaskan oleh Selangor di Stadium Darul Aman (SDA).
Terlepas peluang untuk ke saingan Asia, pastinya Sang Kenari tidak rela melepaskan takhta mereka di tangga ketiga ini kepada Sabah.
Walaupun begitu, momentum Sabah juga dianggap berada dalam keadaan terbaik kini dalam saingan Liga Super selepas mereka mencatat tiga kemenangan bersih berturut-turut sebelum itu.
Malah Kalamullah sendiri akui aksi untuk perlawanan hari ini sangat getir untuk dihadapi mereka dalam usaha untuk membantu pasukan tersebut mempertahankan kedudukan ketiga musim ini.
“Saya mahu memastikan gawang kami tidak dibocori pada aksi kali ini bagi mengelak keciciran mata dan memastikan misi kami mengekalkan kedudukan tangga ketiga musim ini dapat dipertahankan.
“Kami mahu bangkit semula untuk merebut peluang untuk tempat ketiga yang mana kami tidak boleh bolos bagi memastikan kami mendapat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri untuk layak pada kedudukan tiga terbaik Liga Super musim ini.
“Sekiranya dipilih beraksi pada perlawanan terakhir musim ini, pastinya saya mahu melengkapkan penampilan dengan aksi yang saya sasarkan bagi membuktikan kemampuan saya bersama Sang Kenari ,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, penjaga gol berpengalaman itu juga akui rakan sepasukan lain turut perlu menggandakan usaha sehabis baik terutama sekali daripada segi mental dan fizikal untuk beraksi pada aksi tersebut.
Jangkaan aksi malam ini sudah tentu akan dipenuhi penyokong fanatik pasukan tuan rumah yang ingin memberi sorakan motivasi supaya Sabah dapat mengatasi Kedah.
“Memang satu aksi yang dijangka cukup sengit dan mencabar buat kami kerana kita tahu aksi ini di tempat lawan dan skuad Sabah ini hanya tewas sekali sahaja pada aksi Liga Super di laman mereka sendiri setakat ini.
“Kita boleh jangkakan keadaan di Sabah nanti pasti cukup mencabar kerana ia sama seperti mana cabaran yang kita tempuhi ketika menentang Selangor tempo hari untuk perebutan kedudukan tempat kedua.
“Saya perlu betul-betul fokus, perbaiki setiap kelemahan dan memastikan persefahaman yang terbaik bersama barisan pemain pertahanan untuk memastikan misi pasukan di hujung musim tercapai sekali gus meningkatkan lagi prestasi saya bersama pasukan,” katanya akhir sekali.