Kaka berkata beliau berminat untuk kembali menyertai AC Milan, dan buat masa ini belum lagi menentukan bilakah beliau akan bersara daripada bola sepak profesional sepenuhnya.
Bekas pemain antarabangsa Brazil itu baru-baru ini kembali ke kelab berkenaan untuk menyaksikan bekas kelabnya itu menewaskan Austria Vienna 5-1 dalam perlawanan UEFA Europa League.
Kaka turut dilaporkan telah bertemu dengan pemilik kelab berkenaan, dan laporan turut menyebut bahawa pemain berusia 35 tahun itu akan ditawarkan peranan sebagai pengarah kelab.
Namun demikian, Kaka dilaporkan terpaksa menolak tawaran terbabit kerana masih aktif bermain dan belum lagi bersara.
Kaka dipetik sebagai berkata kepada Sky Sports Italia:
“Buat masa ini saya perlu menyelesaikan hal peribadi termasuk yang berkaitan dengan karier terlebih dahulu. Saya telah memberikan diri tempoh beberapa bulan untuk mengkaji apa saya mahu lakukan pada masa hadapan.”
“Saya tidak mahu membuat keputusan pada penghujung musim dan saya mahu memastikan saya benar-benar tenang ketika membuat keputusan. Dan jika saya mengambil keputusan untuk menggantung but, barulah saya akan memikirkan apa yang saya mahu lakukan seterusnya.”
“Sudah tentu kembali menyertai AC Milan adalah salah satu kemungkinan. Terutama apabila peluang sudah terbuka untuk saya kembali. Hubungan saya dengan pihak kelab amat baik.”
“Saya tidak boleh menjelaskan perasaan saya ketika berada bersama Milan pada hari ini. Saya tidak boleh menjelaskan itu.”
“Saya sangat sukakan bandar ini. Ia mengembalikan banyak memori sepanjang kehidupan dan karier saya. Ia sukar dijelaskan,” jelas Kaka ketika ditanya wartawan.
Kaka beraksi bersama kelab yang berpengkalan di San Siro itu di antara 2003 sehingga 2009 sebelum berhijrah ke Real Madrid. Selepas 4 musim di La Liga, kaka kembali untuk menyertai AC Milan pada 2013 selama semusim.
Sepanjang bersama kelab Rossoneri itu, Kaka telah tampil dalam 223 perlawanan dan menjaringkan 77 gol. Kaka turut membantu AC Milan muncul juara Serie A pada musim 2003-2004 dan juara UEFA Champions League pada 2006-2007 selain daripada gelaran Ballon d’Or pada 2007.