Setelah kedua-dua pasukan gagal mendapatkan 3 mata penuh pada minggu yang lalu, hari ini Kajang AZS dan juga PJ Level Up turun dengan skuad utama mereka dalam misi membawa pulang kemenangan.
Sebaik sahaja perlawanan dimulakan, kedua-dua pasukan mengatur corak permainan masing-masing. Namun pasukan PJ Level Up terlebih dahulu mengetuk gawang gol Kajang AZS seawal minit ke-2 namun tandukan pemain pertahanan PJ Level Up sedikit tersasar.
Selang seminit, giliran Kajang AZS pula menyerang namun hantaran lintang pemain sayap Kajang AZS yang mencari penyerang mereka berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Kajang AZS.
Dalam kerancakan pasukan PJ Level Up melancarkan serangan, barisan pertahanan mereka dihukum penyerang Kajang AZS melalui satu “counter attack” pantas.
Lorongan cantik pemain tengah Kajang AZS dan larian laju penjaring gol pertama mereka, Arif Mat Asin menewaskan barisan pertahanan dan mudah melepaskan sepakan leret melewati penjaga gol PJ Level Up pada minit ke-13 perlawanan.
Ketinggalan 1-0, PJ Level Up meningkatkan lagi tekanan ke arah kubu pertahanan Kajang AZS. Hasilnya berlaku sedikit salah faham di antara penjaga gol dan pemain pertahanan Kajang AZS yang memberikan sepakan penalti buat PJ Level Up.
Ketua pasukan Level Up, K. Prashant tampil untuk mengambil sepakan tersebut namun sepakan beliau tersasar tinggi melewati palang gol Kajang AZS.
2 minit selepas insiden penalti, PJ Level Up sekali lagi mendapat peluang keemasan melalui penyerang sensasi mereka, Tarik Hussien namun ianya sekali lagi tersasar.
Seakan-akan nasib tidak menyebelahi PJ Level Up, sekali lagi mereka dihukum juga melalui Arif Mat Asin selepas K. Prashant yang mungkin masih lagi terganggu dengan insiden gagal menyempurnakan penalti, hilang bola berhampiran kawasan penalti PJ Level Up dan pantas dirampas Kajang AZS untuk gol kedua mereka.
Larian-larian pantas kedua-dua penyerang Kajang AZS sering kali mendatangkan kerisauan kepada barisan pertahanan PJ Level Up.
Di saat-saat akhir separuh masa pertama, Tarik sekali lagi mendapat peluang menghasilkan gol namun disia-siakan.
Masuk babak kedua, meskipun sudah pun mendahului pihak lawan dengan dua gol, Kajang AZS tetap mengatur serangan bertali arus ke kubu PJ Level Up dan sesekali mereka mendapat peluang untuk menambah jaringan namun ianya gagal.
Manakala PJ Level Up yang dalam usaha merapatkan defisit gol, juga sering kali melancarkan serangan berbahaya ke arah gawang gol Kajang AZS.
Hasilnya satu sepakan percuma yang diberikan kepada PJ Level Up gagal dikeluarkan penjaga gol Kajang AZS dan ditolak masuk Tarik Hussien pada minit ke-42 perlawanan.
Ianya sedikit sebanyak menaikkan semangat PJ Level Up untuk mencari gol penyamaan.
Tetapi sebaliknya yang berlaku apabila penyerang import Kajang AZS, Philip Abbah menambah jaringan selepas kesilapan pemain pertahanan PJ Level Up pada minit ke-54 perlawanan.
Giliran Rostam Osman pula melengkapkan kemenangan Kajang AZS apabila menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-66 sekaligus menjadikan kedudukan kekal 4-1 hingga tamat perlawanan.