Tindakan segelintir penyokong Kedah Darul Aman mengganggu keluarga pengendali, Aidil Sharin Sahak dilihat sebagai satu tindakan tidak cerdik.
Akibat tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan, sesetengah penyokong dilihat seperti hilang pedoman menyerang keluarga pengendali kelahiran Singapura itu dan perkara ini didedahkan oleh jurulatih penjaga gol ketika sesi bertemu dan dialog bersama penyokong yang berlangsung pada Ahad.
Sesi dialog dengan penyokong Kedah
Selepas deretan prestasi kurang baik sejak akhir-akhir ini, Kedah dikritik penyokong sehingga ada yang meminta sesi pertemuan dua mata antara penyokong dan pengurusan diadakan. Malah, bekas pengendali Kedah, Azraai Khor juga berpendapat pengurusan perlu bertemu penyokong.
“Apa-apa pun saya cadangkan jumpalah wakil-wakil penyokong kita, kongsi bersama mereka apa yang sebenarnya berlaku. Arwah DAB [Dato’ Ahmad Basri] pernah berkata, “Tiada rahsia diantara kita dengan penyokong kita. ‘The team is nothing without the fans’. ”
“‘There is nothing to hide’. Berani kerana benar.”
Facebook Azraai Khor
Hasilnya, satu sesi perjumpaan dan dialog bersama para penyokong telah diadakan pada Ahad lalu, bertempat di Bilik Seminar Muzium Negeri Kedah.
Ia sekurang-kurangnya berjaya mencapai misi mendedahkan masalah pasukan pada ketika ini yang seolah-olah dilanda ribut tak kunjung henti.
Salah satu pendedahan yang boleh dianggap amat serius adalah tentang keluarga pengendali, Aidil di Singapura telah dikecam segelintir penyokong.
Ini bukan kali pertama tindakan tidak cerdik
Masih ingat kejadian di mana ketika Instagram pemain sayap Urawa Red diserang segelintir penyokong Kedah pada awal musim 2020 yang lalu?
Saat itu, Kedah dikhabarkan bakal membawa masuk jeneral baharu buat pasukan dan dengan Aidil dilihat pergi ke Jepun, ramai yang mula mencipta spekulasi sendiri. Tidak pasti dari mana dan bagaimana spekulasi yang Kenyu Sugimoto, penyerang kelab J1 League, Urawa Red bakal direkrut.
Hasil dapatan daripada pencarian di internet, spekulasi yang Sugimoto bakal menyertai Kedah telah bermula pada penghujung November 2019 yang menyaksikan beberapa laman penyokong mengandaikan pemain tersebut sesuai untuk bermain bersama Sang Kenari, musim berikutnya.
IG Kenyu Sugimoto ‘Diserang’, Penyokong Kedah Perlu Bijak Kawal Keterujaan – https://t.co/45E8dDDiO2 pic.twitter.com/T1dClzRG6w
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 12, 2019
Selepas Aidil mengesahkan kepada Semuanya BOLA yang import terakhir sudah dimuktamadkan, segelintir penyokong sudah ‘memburu’ pemain diinginkan di laman-laman sosial termasuklah di Instagram Sugimoto.
Realitinya, pemain itu langsung tiada kaitan dengan Kedah dan tidak pun menyertai pasukan selepas itu. Mana nak letak muka dan maruah pasukan?
Walaupun mungkin kekok dengan situasi yang tidak sepatutnya berlaku itu, Aidil dilihat amat memahami gelagat penyokong Kedah, namun mengakui semua pihak terutamanya para penyokong perlu mengawal ‘keterujaan’.
Baddrol Bakhtiar juga tidak lepas daripada kecaman
Sikap mengkritik membuta tuli ini memang sudah ada sejak azali dan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar juga tidak terlepas daripada kecaman.
Masih ingat prestasi Baddrol yang dikritik hebat pada permulaan musim lalu sehingga menerima kecaman hebat. Aidil tetap berdiri teguh di belakang kaptennya pada saat itu. Ujar Aidil kepada Semuanya BOLA, beliau tidak risau mengenai kritikan yang dilemparkan terhadap pemain tengah itu.
Baddrol Bakhtiar Bangkit Dari Kritikan, Muncul Penjaring Terbanyak Tempatan
“Bagi saya, saya tidak risau. Baddrol telah banyak membantu pasukan dan sentiasa beri yang terbaik sebagai kapten pasukan dan dia adalah ketua dikalangan pemain. Hari ini kita melihat dia main lebih baik berbanding aksi sebelum ini. Saya tidak risau [prestasinya] dan dia sentiasa bersama saya membawa pasukan ke depan.”
Ironinya, kritikan itu hadir selepas Kedah melalui dua aksi awal Liga Super 2021 – menang dan kalah sekali, menyaksikan kudratnya hangat dipersoal.
Akhirnya, Baddrol bangkit dan membuktikan beliau masih relevan apabila muncul penjaring terbanyak tempatan pada musim lalu dengan tujuh gol.
Penyokong Kedah senada, ada golongan tak cerdik
Beberapa penyokong Kedah juga dilihat mengkritik tindakan segelintir penyokong Kedah yang dilihat tidak cerdik itu. Salah seorang penyokong yang dikenali sebagai Wan Warga menyatakan, isu bola sepak tidak perlu membabitkan keluarga mereka. Kritik hasil kerjanya, bukan keluarganya.
“Dah lama segelintir orang kita dok buat reja ni. Marah orang pun jangan la sampai menghina atau maki ‘family’ orang. Marah berdasarkan kerja sudah la. Kritik pun berpada-pada saja, nak marah pun depa kerja depa. kita takat bagi pendapat kita apa yang kita nampak sudah, tak perlu lebih-lebih”
Sementara, penyokong tegar Sang Kenari, Mohammad Adhan pula berkata yang penyokong di Kedah masih mempunyai mentaliti kelas ketiga.
“Mau dok boh rengga dalam seluaq ja dekat sapa yang dok kacau tu.. Buat malu ja orang Kedah. Dah la kepala persatuan bolasepak Kedah dah memalukan. Peminat pun nak bagi malu jugak. Sebab tu saya masih tekankan terutama penyokong bolasepak Kedah ni masih mempunyai ‘3rd class mentality’.
Kedah harus bersyukur disebalik pelbagai masalah yang dilalui pasukan, pengendali tersebut masih teguh bersama pasukan dan mempertahankan anak buahnya. Beliau tidak angkat kaki tinggalkan pasukan waima ditekan dari pelbagai sudut terutamanya daripada penyokong yang tidak cerdik.
Ini kerana, seperti yang didedahkan dalam sesi dialog itu, beliau sudah mencapai KPI yang ditetapkan. Dengan barisan pemain yang ada yang menurut barisan kejurulatihan – masih mentah pengalaman, disertai masalah kecederaan, musim ini boleh dianggap sudah berakhir buat Kedah.