Siapa Pula Akan Dipersalahkan Pada Musim 2022?

Selepas kalah empat kali berturut-turut dalam saingan Serie C pada bulan April 2015, Gianluigi Buffon mengarahkan semua staf kejurulatihan dan pemain Carrarese untuk berkampung di pusat latihan selama 3 hari 3 malam. Semua telefon dan gajet staf dan pemain diambil dan disimpan di tempat lain. Semua orang tak dibenarkan untuk balik ke rumah berjumpa isteri, teman wanita dan anak-anak. Sebarang komunikasi ke luar pusat latihan dilarang.

Jadi selama 72 jam, semua orang berlatih bersama-sama, makan bersama-sama, bersosial bersama-sama dan tidur bersama-sama. Satu-satunya komunikasi di luar pusat latihan Carrarese adalah panggilan video ke pemilik kelab iaitu Buffon. Pada jam 7 malam, Buffon akan membuat panggilan video untuk mendapatkan laporan harian daripada ketua jurulatih kelab miliknya.

Selepas 72 jam ‘berkurung’ di pusat latihan, Carrarese melawat halaman Pontedera untuk aksi Serie C seterusnya. Keputusannya? Carrarese menang 2-0. Sejurus selepas menang, Buffon mengarahkan staf kejurulatihan pasukannya untuk memulangkan telefon pemain dan membenarkan semua orang balik ke rumah masing-masing.

Buffon pernah menjadi pemilik pasukan tempat kelahirannya, Carrarese yang beraksi di Serie C. Beliau bagaimanapun telah meletak jawatan sebagai pemilik kelab pada akhir musim 2015.

Bagi peminat bola sepak luar Itali, tindakan Buffon mungkin boleh dianggap ekstrim. Mungkin ada yang kata ia melanggar hak asasi pemain. Tetapi inilah tradisi kelab bola sepak Itali: ritiro. Apabila pemilik kelab melihat adanya elemen mediocrity dalam pasukan, ritiro akan dikuatkuasakan.

Ritiro bertindak sebagai sebuah inkuiri dalaman. Atau ayat mesra PR-nya: team building exercise. Tujuannya adalah untuk melihat kepincangan dalaman (berbanding menyalahkan orang luar). Dalam ritiro, staf kejurulatihan, staf pengurusan dan pemain perlu berhadapan dengan masalah kelab depan-depan. Tak boleh lari. Selesaikan kepincangan itu sekarang atau ritiro akan dipanjangkan hingga berminggu-minggu.

Melihat trend kejatuhan Selangor FC (Selangor) sejak enam tahun lepas, penyokong barangkali tidak akan membantah – malah mungkin akan memuji – jika penaungnya Raja Muda Selangor DYTM Tengku Amir Shah (RMS) mengarahkan ritiro dibuat di Padang SUK.

Tiga musim tanpa trofi mungkin bukan belum cukup bagi sesebuah kelab untuk mula melakukan inkuiri dalaman seperti ritiro. Tetapi bagi sebuah kelab yang mempunyai bajet kedua terbesar di Malaysia seperti Selangor, ia sepatutnya wajib.

Tiga musim tanpa trofi tidak boleh diterima oleh mana-mana penyokong Selangor. Tiga musim tanpa aksi bola sepak Asia lagilah tidak boleh diterima. Tiga musim tanpa identiti permainan yang diidam-idamkan adalah kegagalan Selangor paling besar ketika ini. Seseorang perlu bertanggungjawab. Inkuiri dalaman perlu dilakukan untuk mengenalpasti – siapa yang telah bertanggungjawab mengekalkan budaya mediocrity Selangor di atas padang?

Kali terakhir Selangor meraih trofi adalah pada musim 2015 apabila bergelar juara Piala Malaysia (tangkap layar dari Wikipedia)

Pada musim 2019 – musim sulung RMS memegang teraju pengurusan kelab, pemain-pemain dipersalahkan. “(Taylor) Regan dan Michal (Nguyen) tidak cukup bagus untuk bermain untuk Selangor”, “Prabakaran punca kalah”, dan “Rufino (Segovia) dah tak macam dulu” adalah korus utama Bangau Oh Bangau di kem Selangor pada ketika itu.

Pada musim 2020, giliran ketua jurulatih B. Sathianathan pula menjadi kambing hitam. Tidak cukup dengan kepala Sathia di guillotine kecaman, penyokong (serta sebilangan pemain-pemain Selangor sendiri) menyalahkan pula staf media sebagai punca kekalahan. Musim 2021 pula secara asasnya merupakan ulangan kepada musim 2020, di mana giliran Karsten Neitzel pula dipersalahkan.

Agak menyedihkan bagi penyokong Selangor (kecuali UltraSel yang sedar awal) apabila mereka perlu mengambil masa lebih tiga tahun untuk membuat kesimpulan – ada benda yang tak kena di peringkat pengurusan. Sathianathan baru-baru ini membuat kenyataan:

​​”Zaman saya dahulu pengurusan tiada duit, beza dengan sekarang yang sepatutnya lebih membuahkan hasil dengan jurulatih dari luar negara.

“Masih ingat lagi suatu ketika dahulu, saya pernah minta untuk menggantikan pemain import Rufino Segovia kerana beliau mengalami kecederaan tapi pengurusan ketika itu tiada bajet, duit dibelanjakan lebih pada logistik walhal pengurusan pemain sepatutnya diutamakan,” katanya.

Dua nama popular yang menjadi sasaran penyokong Selangor ketika ini adalah RMS dan CEO kelab, Dr. Johan Kamal Hamidon. Menuntut dua individu ini keluar dari Selangor ibarat mengambil langkah ke belakang. Terdapat satu nama yang terlepas dari radar penyokong Selangor ketika ini: Izhar Moslim.

Jika dibandingkan dengan Dr. Johan, Izhar mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan beberapa kumpulan penyokong Selangor. Pengaruhnya di pejabat pengurusan Selangor juga tidak kurang besar – walaupun setelah meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden FA Selangor pada November 2019 lepas.

Soalan: Bolehkah individu yang tidak mempunyai jawatan dalam Selangor FC menyertai aktiviti staf pengurusan Selangor FC?

Jawapannya: Boleh, jika anda adalah Izhar Moslim.

Hakikat beliau boleh menyertai percutian team-building staf Selangor di Cherating pada Januari 2022 – dua tahun selepas perletakan jawatannya – membuktikan Izhar masih mempunyai pengaruh besar dalam kelab.

Sebelum ‘perletakan jawatannya’ lagi, Izhar sudah terlibat dalam urusan-urusan penting kelab yang biasanya dilakukan oleh CEO. Contohnya urusan Selangor menandatangi pemain.

Adakah tugas hakikinya sebagai Pengurus Kencana Capital (milik Mokhzani Mahathir) tidak cukup sibuk sehingga beliau boleh melakukan tugas Dr. Johan?

Adakah beliau masih mempunyai kuasa eksekutif di Selangor FC? Jika ya, apa jawatan dan skop tugasnya dalam Selangor FC? Jika tidak, mengapa beliau masih terlibat dalam urusan eksekutif kelab?

Selagi soalan-soalan ini terbiar tanpa jawapan, selagi itulah kebertanggungjawaban (accountability) hanya satu ilusi di Selangor FC.

Bagaimana penyokong Selangor boleh menuntut kebertanggungjawaban daripada pihak pengurusan, jika kabel (yang ironiknya menjadi punca kejatuhan Geng 52 FA Selangor dahulu) masih wujud di peringkat pengurusan?

Barangkali pengumuman perletakan jawatan Izhar dalam FA Selangor hanya satu smokescreen; untuk mencipta ilusi bahawa beliau tidak terlibat dalam apa-apa urusan Selangor. Sedangkan beliau sebenarnya masih terlibat dalam urusan eksekutif kelab.

Jika Selangor sangat-sangat memerlukan khidmat Izhar sekalipun (sehingga terpaksa mencipta smokescreen), apa pencapaian atas padang yang Selangor boleh banggakan?

Dulu Selangor merupakan pencabar utama trofi domestik bola sepak Malaysia. Sekarang Selangor sering menjadi bahan ketawa. Yang paling dikhuatiri adalah penyokong Selangor sudah menjadi lali dengan kegagalan kelab sehinggakan mereka hilang minat untuk menyokong.

Sehingga kini generasi muda penyokong Selangor terkenang-kenangkan kegemilangan Selangor era Amri Yahyah dan Bambang Pamungkas. Tiada siapa pun yang menyanyikan nama pemain-pemain yang ditandatangani Izhar.

Barangkali RMS perlu mengarahkan satu ritiro dibuat di Padang SUK. Tiada telefon dan gajet dibenarkan. Tiada komunikasi luar. Tiada Izhar. Barulah katarsis boleh dijelmakan. Barulah Selangor FC boleh membuang budaya mediocrity – yang tidak membawa trofi, aksi di Asia dan corak permainan yang boleh dibanggakan.

Jika tidak, sampai bila-bila penyokong Selangor akan menyalahkan pengadil, MFL, JDT, RMS, pemain, Sathianathan dan staf media sendiri atas kejatuhan Selangor. Perbaiki kepincangan dalaman dahulu, baru tengok luaran. Jangan sampai kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.

Leave a Reply