Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan menyatakan sasaran utama mereka dalam saingan liga musim ini bukanlah ke Piala AFC.
Sebaliknya mereka hanya mensasarkan untuk memperoleh kedudukan tertinggi semampu mereka sahaja.
Namun begitu, menyedari yang peluang untuk ke Asia itu ada membuatkan kenapa skuad Jang hingga kini terus memberikan saingan kepada Terengganu dan Sabah.
“Sepatutnya sasaran kita bukan hendak pergi ke Piala AFC tapi penghujung saingan Liga Super ini, kita dalam kedudukan di mana kita boleh memberi saingan untuk Piala AFC dan berusaha, itu saja,” jelas Devan
Bagi K.Devan, jika skuad Jang berjaya mengisi slot itu, ia merupakan satu kejayaan yang sangat besar kerana mereka adalah pendatang baharu Liga Super musim ini.
Biar pun diletakkan sebagai pasukan pilihan tetapi jurulatih tersebut tetap menyatakan setiap perlawanan yang mereka hadapi adalah cabaran.
“Setiap perlawanan dalam saingan Liga Super ada cabaran kerana kalau kita lihat diatas kertas pasukan kita bukanlah sehandal pasukan lain-lain.
Kami cumalah pasukan biasa yang duduk di kelompok teratas,” ujar Devan.
Pengendali berusia 61 tahun itu bangga dengan prestasi skuad kendaliannya kerana mereka telah membuktikan dalam setiap perlawanan mereka memberikan aksi yang terbaik.
Malah Devan percaya pasukan ini boleh pergi jauh.
Setakat ini, perancang beliau bersama pihak pengurusan berjalan seperti dikendaki termasuk melepaskan perlawanan ketika menentang Johor Darul Ta’zim dan menang dua perlawanan di tempat sendiri.
Untuk perlawanan terakhir menentang Sri Pahang di Kuantan, Negeri Sembilan wajib mendapatkan tiga mata kerana hanya kemenangan akan menjamin peluang mereka ke Piala AFC musim hadapan.
Ketika ini, peluang untk merebut dua slot masih lagi terbuka antara tiga pasukan Sabah, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Ketiga-tiga pasukan ini sudah pasti inginkan kemenangan dan siapa yang melakukan kesilapan, pasti akan berputih mata.
Peluang Negeri Sembilan dan Terengganu dilihat lebih cerah kerana mereka dijangka tiada masalah untuk mencatat kemenangan berbanding skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang terpaksa membuat perhitungan menentang JDT di tempat lawan.
Namun dalam bola sepak, selagi wisel penamat belum ditiup, apa sahaja boleh berlaku.
Kecemerlangan prestasi Negeri Sembilan mengulangi pencapaian Penang pada tahun lepas dimana Harimau Kumbang sebagai pendatang baharu hampir mendapatkan slot ke Piala AFC tetapi dipintas oleh Kedah Darul Aman pada minit-minit akhir.
Diharap musim hadapan skuad kendalian Devan dapat meneruskan rentak cemerlang ini dan tidak mengulangi kesilapan Penang.