16 Pasukan Sah Bertanding Liga Super 2023, Melaka & Sarawak Disingkirkan

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengesahkan hanya 16 pasukan sahaja yang bakal bertanding pada musim hadapan dalam saingan Liga Super sebentar tadi, menerusi akaun Facebook rasmi mereka.

Menurut MFL, 10 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super sebelum itu berjaya mengesahkan diri mereka untuk saingan musim hadapan setelah mendapat Lesen Kebangsaan.

Jelas kenyataan itu, keputusan telah dibuat berdasarkan Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL yang telah dipengurusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 11 dan 12 Oktober 2022 untuk menentukan pasukan mana layak bertanding musim hadapan.

Kelab-kelab yang berjaya mengesahkan diri mereka untuk aksi Liga Super 2023 itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA), Negeri Sembilan, Penang, Petaling Jaya City (PJ City), Sri Pahang, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur City (KL City), dan Sabah.

Namun, ada dua pasukan Liga Super yang gagal melayakkan diri mereka untuk beraksi pada musim hadapan iaitu Melaka United dan Sarawak United.

Kedua pasukan ini tidak layak untuk beraksi pada saingan 2023 kerana mereka gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan, setelah permohonan mereka jelas tidak memenuhi kriteria ditetapkan oleh Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

Melaka United jelas gagal untuk melepasi kriteria ditetapkan oleh MFL, apabila mereka gagal untuk mengemukakan bukti tunggakan gaji pemain serta pegawai sehingga Ogos 2022.

Selain itu, pasukan ini juga gagal untuk menyerahkan segala dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Sarawak United pula mengalami masalah untuk memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan selain mempunyai kes bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai isu bekas pemain import iaitu Taylor Reagan dan Sandro Mendonca.

Walaupun begitu, kedua kelab tersebut masih lagi diberi peluang oleh MFL untuk membuat rayuan sebelum tarikh akhir pada 19 Oktober 2022 terhadap keputusan FIB, yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Pada masa sama, permohonan untuk enam pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini telah diluluskan dan diberikan Lesen Kebangsaan untuk menyertai Liga Super 2023.

Pasukan-pasukan tersebut ialah Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC and UiTM FC.

Akhir sekali, MFL turut memberi arahan agar setiap pasukan menyerahkan surat pengisytiharan yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan atau kelewatan pembayaran gaji.

Perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada MFL sebelum 15 Disember 2022, iaitu menjelang musim baharu Liga Super 2023.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN