Media di Itali melaporkan permohonan Antonio Conte untuk kembali membimbing Juventus pada musim hadapan telah ditolak oleh kelab Turin itu.
Conte dijangka akan meninggalkan Stamford Bridge pada akhir musim ini, setelah gagal mengulangi pencapaian musim lalu bersama kelab London itu.
Pada akhir tahun lepas, Conte pernah mengadu beliau rindukan negara asalnya, dan sejak daripada itu tidak banyak perubahan positif yang dilakukan bersama Chelsea untuk menafikan kehidupan di London dan bola sepak Inggeris adalah sukar bagi beliau.
Setelah permulaan yang buruk pada awal musim, bekas pengendali skuad kebangsaan Itali itu menyelar pengurusan tertinggi Chelsea kerana kurangnya aktiviti di pasaran pemain.
Dan selepas apa yang berlaku pada musim panas lalu, Conte bagaikan sudah tidak sanggup untuk melalui satu lagi persediaan pra musim bersama Chelsea.
Sebuah stesen televisyen di Itali, Top Calcio melaporkan pengendali berusia 48 tahun itu telah menawarkan diri kepada Juventus untu jawatan pengurus.
Namun gergasi Serie A itu telah menolak tawaran Conte yang pernah bergelar pengurus kelab Turin itu di antara 2011-2014, sebelum melatih skuad kebangsaan Itali.
Top Galcio turut berkata Juventus hanya akan membuka pintu rundingan sekiranya Massimiliani Allegri meninggalkan Juventus pada musim panas akan datang.
Allegri merupakan antara jurulatih yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal sebagai pengganti Arsene Wenger.
Dan sekiranya Allegri pergi, Juventus turut mempertimbangkan Massimo Carrera sebagai pengganti. Carrera merupakan pembantu pengurus kepada Conte ketika kedua-duanya bersama Bianconeri di antara 2012 sehingga 2014.
Carrera yanh turut meninggalkan Juventus bersama Conte untuk tugasan antarabangsa kini adalah pengurus kepada kelab Rusia, Spartak Moscow.
Seperti Conte, Carrera juga pernah beraksi bersama Juventus sebagai pemain selama 5 tahun di antara 1991-1996.
Masa hadapan Conte mungkin sudah tidak lagi bersama Chelsea pada musim hadapan. Juventus juga mungkin telah menolak kemungkinan melantik Conte untuk cabaran pada musim hadapan.
Bagaimanapun, Conte masih berpeluang mencipta nama bersama Chelsea sekiranya berjaya menewaskan Manchester United di perlawanan akhir Piala FA pada bulan hadapan.