AC Milan, Arsenal dan Schalke 04 adalah antara kelab yang sudah melakukan tawaran untuk mendapatkan Medhi Benatia. Namun demikian, Juventus kekal dengan pendirian tidak akan melepaskan pemain pertahanan tersebut pada jendela perpindahan Januari ini.
Menurut La Gazzetta dello Sport (seperti yang dilaporkan oleh Football Italia), pemain antarabangsa Maghribi berusia 31 tahun itu sememangnya mahukan perpindahan keluar dari kelab Turin tersebut setelah kecewa dengan jumlah penampilan sepanjang musim ini.
Namun demikian Juventus dilaporkan enggan melepaskan mana-mana pemain pada pertengahan musim.
Sempat sindir Allegri
Kecewa dengan pendirian pengurus pasukan, Massimiliano Allegri yang tidak menggunakan khidmat beliau di dalam perlawanan atau memberi kata putus untuk membebaskan beliau untuk menyertai pasukan lain turut sempat menyindir pengurus beliau itu di media sosial.
Sebelum ini Benatia dilaporkan pernah bersemuka dengan Allegri dan berterus terang mengenai kekecewaan beliau kerana jarang diturunkan beraksi. Kali ini kekecewaan Benatia turut diluahkan di laman Instagram milik beliau.
Sengaja melakukan muat naik di IG Story, seorang pelayan restoran meminta Benatia mendedikasikan gol seterusnya untuk dirinya.
Benatia kemudiannya menjawab dengan sinis, dipercayai ditujukan khas kepada Allegri.
“Saya harus bermain sebelum boleh menjaringkan gol,” jawab pemain itu.
– Cameriere a #Benatia: ‘Fai un gol e lo dedichi a me’#Benatia – ‘Magari, per segnare devo giocare’
?#Juve#Juventus pic.twitter.com/2JFfOicLll— Marco Zanotti (@MarcoZanotti90) January 2, 2019
Bagaikan penghambaan
Situasi Benatia di Juventus ibarat sebuah penghambaan. Namun jika hubungan terkini beliau dengan Allegri diambil kira, tiada siapa yang boleh menjangkakan apa yang akan berlaku pada penghujung Januari ini.
Arsenal dan AC Milan terutamanya dilaporkan sangat berminat dengan khidmat Benatia kerana pengalaman yang dimiliki pemain tersebut. Namun kata akhir tetap akan menjadi milik Juventus yang memiliki kontrak pemain tersebut.
Benatia hanya beraksi di dalam enam perlawanan kompetitif pada musim ini, dan kontrak pemain tersebut di Turin hanya akan tamat pada Jun 2020.
Juventus mendapatkan khidmat Benatia dari Bayern Munich pada 2016 dengan nilai perpindahan €20 juta.