Selepas satu musim berkelana ke Serie A, Aaron Ramsey bakal kembali ke English Premier League selepas dikhabarkan berada dalam senarai untuk dilepaskan.
Menurut laporan Daily Mail, dua kelab dari EPL sedang memantau situasi tersebut selepas dikatakan Juventus bakal melepaskan bekas pemain Arsenal itu dek kerana mahu mengurangkan kos operasi kelab – gajinya dikatakan £400 ribu seminggu.
Tiada sebarang impak
Lagipun, pemain berusia 29 tahun itu tidak menunjukkan sebarang impak yang berkesan di Juventus selain bergelut dengan kecederaan walaupun telah menjaringkan gol dalam dua aksi terakhir sebelum liga tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Untuk musim ini, selepas 26 perlawanan, pemain Wales itu hanya membuat sembilan penampilan dibawah pengendali berpengalaman, Maurizio Sarri dan Juventus tetap mampu untuk berada di takhta liga, menjadikannya tiada kepentingan untuk kelab.
Namun, dengan gajinya yang boleh dikatakan agak tinggi iaitu £400 ribu seminggu, mampukah Juventus menjadikannya umpan untuk menarik kelab-kelab di EPL untuk memancingnya keluar daripada Turin dalam jendela perpindahan selepas ini?
Sejak tiba di sana daripada Arsenal tanpa sebarang kos perpindahan, Aaron Ramsey telah menandatangani kontrak sehingga Jun 2023. Mungkin ada kelab yang berminat tetapi mahukah pemain tersebut menerima pengurangan gaji bersama mereka?
Manchester United berminat
Daily Mail menyatakan Manchester United adalah antara kelab EPL yang berminat kerana pengalaman luasnya di liga tersebut – 11 musim bersama Arsenal, selain dikatakan memiliki karekter yang boleh memimpin pasukan atas faktor tersebut.
Gergasi EPL itu mungkin boleh mendapatkan Aaron Ramsey dengan harga yang lebih murah akibat siri kecederaan yang sering menghantui pemain tersebut. Selain itu, Juventus juga sangat terdesak untuk melepaskan pemain tersebut untuk keluar.
Walaubagaimanapun, The Red Devils sudah memiliki Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Scott McTominay di jentera tengah menjadikannya bukanlah pemain yang akan mendapat penampilan yang banyak dan perlu berkorban dalam soal gaji.
Disebalik itu, masa depan Paul Pogba juga dikhabarkan dalam persoalan dan dikatakan mungkin akan menjadi mahar pertukaran antara kedua-dua kelab. Juventus masih berminat untuk membawa pulang bintang Piala Dunia Perancis 2018 itu.
Aaron Ramsey masih gembira di Itali
Menerusi temuramah bersama The Athletic, Aaron Ramsey telah menyatakan yang beliau masih gembira untuk berada di Serie A dan turut menjelaskan perbezaan antara bekas kelabnya, Arsenal dan Juventus terutamanya dalam pengurusan taktikal.
Menurutnya, di Itali, kebanyakan pasukan akan bermain lebih ke bawah untuk bertahan dan akan memaksa pemain tengah sepertinya untuk datang memecahkan blok pertahanan mereka berbeza dengan di EPL, beliau bebas untuk mencorak permainan.
Memuji cara Maurizio Sarri mengendalikan pengurusan taktikal pasukan, Aaron Ramsey menjelaskan yang di Juventus mereka akan lebih banyak menghabiskan masa berlatih taktikal untuk berdepan perlawanan seterusnya berbanding di EPL.
Mungkinkah ini yang dimaksudkan dalam pendedahan bekas pembantu Maurizio Sarri, Gianfranco Zola mengenai kaedah latihan yang teruk sebelum ini? Walaubagaimanapun, Aaron Ramsey nampaknya sangat menyukai kaedah tersebut.
Penutup
Adakah pertukaran antara Paul Pogba dan Aaron Ramsey akan berlaku? Walaupun nampak samar-samar. Juventus pastinya tetap mahu melepaskan pemain tersebut dan yang masih menjadi persoalan ke mana hala tujunya selepas ini.
Berikutan dua aksi persahabatan menentang West Brom pada Jumaat, bekas pemain Manchester United, Darren Fletcher berkata yang gandingan Paul Pogba dan Bruno Fernandes memerlukan salah seorang daripada mereka untuk ‘berkorban’.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES