Juventus menjuarai Coppa Italia lebih awal daripada Serie A musim ini. Ini selepas pesta kejuaraan Serie A mereka ditangguhkan seketika AS Roma.
Juventus menewaskan Lazio 2-0 dalam final Coppa Italia 2017. Dani Alves meneruskan aksi cemerlang beliau musim ini apabila meletakkan Juventus di hadapan menerusi satu voli menarik.
Leonardo Bonucci menambah jaringan untuk Juventus pada minit ke-24. Lazio gagal bangkit daripada ketinggalan 2 gol ini di stadium mereka sendiri.
Juventus menjadi pasukan pertama menjuarai Coppa Italia untuk 3 tahun berturut-turut dalam sejarah. Lazio pula mara ke final untuk kali ke-3 dalam 5 musim terakhir mereka.
Pada 2015, Lazio ditewaskan Juventus menerusi jaringan di masa tambahan. Nampaknya dendam Lazio tidak terbalas juga kali ini.
Lazio merehatkan ramai pemain sebelum ini demi perlawanan final ini. Membuatkan mereka tewas 3-2 dalam perlawanan liga di tangan Fiorentina.
Kini Juventus akan memberikan tumpuan untuk menjuarai Serie A pada hujung minggu ini dan kemudiannya cuba melengkapkan mimpi treble pada 3 Jun di Cardif menentang Real Madrid pada final UCL.
Pengurus Juventus Max Allegri berkata:
“Kami harus memuji para pemain kami yang bermain hebat hari ini. Kami bermain luar biasa pada separuh masa pertama.”
“Lazio juga berhak mendapat pujian kerana aksi cemerlang mereka sepanjang kempen musim ini.”
“Selepas ini, kami ada perlawanan penting menentang Crotone untuk penentuan kejuaraan Serie A.”
“Kami bermain dengan tempo yang tinggi pada separuh masa pertama dan menyudahkan peluang yang dimiliki. Pada separuh masa kedua, kami bertahan dengan baik sekali.”
Pengurus Lazio, Simone Inzaghi pula berkata:
“Sekarang ini kita tengah bercerita tentang finalis UCL. Kami mungkin agak tidak bernasib baik dalam perlawanan ini.”
“Pada separuh masa pertama ada insiden handball namun kami tidak boleh berbuat apa-apa tentangnya. Ada berberapa insiden dan keputusan pengadil tidak memihak kepada kami.”
“Pemain-pemain saya beraksi sangat baik musim ini dan juga malam ini. Ianya malam yang agak emosi.”