Pemain warisan baharu Indonesia, Justin Hubner tampil memberi kenyataan sebenar mengapa beliau memilih negara tersebut berbanding Belanda dalam dunia bola sepak.
Hubner menjadi pemain warisan keenam Indonesia sejak pasukan tersebut dikendalikan oleh Shin Tae-yong dan Sang Garuda kini jelas mempunyai misi tersendiri untuk kembali gah dalam sukan tersebut di pentas antarabangsa.
Pada usia baru 20 tahun, Hubner sah menjadi warganegara Indonesia semalam dan mendapat maklum balas sangat positif dalam kalangan penyokong bola sepak di Indonesia.
Apa tidaknya, Hubner ketika ini sudah pun menjadi sebahagian daripada salah satu kelab berpengaruh di England iaitu Wolverhampton Wanderers dan beraksi bersama skuad bawah 21 (B-21) pasukan tersebut.
Lebih menarik, Hubner memiliki peluang cerah untuk mewakili pasukan senior Wolves pada masa hadapan kerana ketika ini beliau menjadi pilihan utama serta Kapten untuk skuad B-21 kelab tersebut.
Untuk rekod, pertahanan berketinggian 1.87 meter ini juga pernah mewakili skuad B-19 serta B-20 pada tahun ini sebelum memutuskan untuk bersama Indonesia.
Ketika ditanya mengapa pemain ini memilih Indonesia berbanding Belanda, beliau mengakui tarikan penyokong menjadi punca pertahanan tersebut mewakili Sang Garuda.
“Saya rasa, penyokong bola sepak di Indonesia kini jauh lebih besar berbanding Belanda pada pengamatan semasa.
“Pandangan saya, kita kini memiliki generasi yang sangat bagus dan pasukan ini mampu mencapai pelbagai siri kejayaan pada masa akan datang,” kata Hubner menerusi laporan dikeluarkan oleh CNN Indonesia.
Ketika ini, sudah tentu harapan tinggi diletakkan oleh para penyokong Indonesia untuk Hubner membantu pasukan kebangsaan mereka pada saingan antarabangsa akan datang.
Paling penting, Indonesia juga bakal mengharungi aksi Piala Asia pada awal tahun hadapan dan kelebihan Hubner di Eropah kini pastinya ditagih Shin untuk memperkukuhkan aspek pertahanan.
Selain Hubner, pemain seperti Jordi Amat, Elkan Baggott, Sandy Walsh, dan beberapa lagi tonggak dianggap sangat penting untuk persiapan Indonesia mengharungi saingan Piala Asia di Qatar.
Beberapa perubahan dilakukan oleh pasukan tersebut kini menyaksikan Indonesia jelas semakin bertambah maju di segenap posisi untuk memberi persaingan di pentas antarabangsa.