Peluang Selangor Ke Pentas Asia Bakal Tersekat Musim Depan?

Keraian di kem Selangor nampaknya tidak dapat kekal berpanjangan, selepas satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi seolah menyentap kegembiraan tersebut untuk mereka beraksi di pentas Asia musim hadapan.

Terbaharu, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu Datuk Seri Windsor Paul John mengeluarkan satu kenyataan tentang status pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang layak untuk ke saingan AFC Champions League (ACL) musim hadapan.

Jelas Windsor kepada wartawan sukan Astro iaitu Fiena Nasrom di media sosial X, sepatutnya mekanisme pemilihan kelab untuk pentas ACL sudah pun ditentukan menerusi peraturan liga domestik.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengelola saingan domestik sepatutnya sudah pun menyatakan kepada setiap pasukan bagaimana cara pemilihan dibuat untuk ke pentas Asia.

“Mekanisme sudah sepatutnya ditentukan dalam peraturan pertandingan peringkat domestik league.

“Sebelum mereka bermula, mereka (MFL) sudah pun memberitahu kepada pasukan cara bagaimana mereka akan memilih wakil daripada Malaysia kepada peringkat Asia biasanya.

“Jadi kalau kita periksa contohnya dengan MFL, kita boleh pastikan pasukan yang kedua daripada liga ataupun daripada piala (Piala FA dan Malaysia) dan perlu ditentukan oleh MFL atau FAM untuk wakil slot kedua,” kata beliau.

Terdahulu, Fiena juga menyatakan slot pertama untuk beraksi dalam kejuaraan AFC Champions League Elite (ACLE) sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pasukan tersebut menjuarai Liga Super.

Untuk slot kedua, ia akan diputuskan sendiri oleh FAM atau MFL menerusi status naib juara Liga Super, Juara Piala FA, atau Piala Malaysia.

Walaupun begitu, JDT sendiri pada musim ini sah menggondol gelaran juara bagi aksi Liga Super serta Piala FA dan slot tersebut pada awalnya terbuka untuk naib juara Liga Super menerusi kenyataan dikeluarkan MFL terdahulu.

Apapun, Selangor kini perlu menanti seketika keputusan penuh bakal dikeluarkan oleh MFL jika mereka terus layak atau tidak untuk ke pentas Asia pada tahun hadapan.

Ianya mungkin akan bertambah sukar jika Terengganu menjuarai Piala Malaysia dan MFL perlu mengkaji semula sama ada juara kejohanan tersebut lebih layak atau diserahkan kepada naib juara Liga Super 2023.

Kali terakhir The Red Giants melangkah ke saingan Asia ialah pada tahun 2016 dan misi tersebut sekali lagi dianggap menjadi kenyataan selepas kejayaan mereka menewaskan Kedah Darul Aman (Kedah) beberapa hari lalu untuk mengesahkan status sebagai naib juara.

Sumber:
Astro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN